Skip to main content

Malaysia

Fiesta Wakaf Fund Run 2026 raih kutipan lebih RM333,000

Seramai 2,278 individu mendaftar bagi acara Wakaf Fund Run dengan 2,016 peserta hadir menyertai larian berkenaan.
Seramai 2,278 individu mendaftar bagi acara Wakaf Fund Run dengan 2,016 peserta hadir menyertai larian berkenaan.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM333,741.17 kutipan wakaf tunai berjaya dikumpulkan menerusi Fiesta AFFIN Islamic International Wakaf Fund Run 2026 yang berlangsung di Masjid Ar-Rayyan, Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Program selama dua hari itu merupakan anjuran Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Wakaf MAINPP) dengan kerjasama AFFIN Islamic Bank itu turut merekodkan kehadiran terkumpul 5,200 pengunjung.

Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP memaklumkan, pencapaian itu mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap usaha memperluas amalan wakaf melalui pendekatan yang lebih inklusif dan dekat dengan komuniti.

“Melalui penganjuran fiesta ini, kita mahu mengubah persepsi bahawa wakaf hanya berkaitan penyerahan tanah atau aset bernilai besar. 

“Hakikatnya, setiap individu mampu menyumbang mengikut kemampuan masing-masing dan menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan kesejahteraan ummah,”katanya menerusi kenyataan yang disiarkan semalam.

Image
MAINPP _MAINPP
MAINPP memaklumkan pencapaian penganjuran fiesta ini diharap mampu mengubah persepsi bahawa wakaf hanya berkaitan penyerahan tanah atau aset bernilai besar. 

Kenyataan itu turut menyatakan amalan wakaf bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi merupakan satu bentuk pelaburan sosial yang manfaatnya mampu dinikmati secara berpanjangan oleh masyarakat.

Seramai 2,278 individu mendaftar bagi acara Wakaf Fund Run dengan 2,016 peserta hadir menyertai larian berkenaan.

Program itu turut menyaksikan pertambahan 84 pewakaf autodebit baharu, menjadikan keseluruhan 585 pewakaf aktif dengan kutipan bulanan berjumlah RM13,259.

Dalam pada itu, fiesta berkenaan turut melibatkan 63 peniaga Halal Foodie dan 52 pempamer daripada pelbagai agensi serta organisasi, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi setempat.

Image
MAINPP _MAINPP
Program selama dua hari itu merupakan anjuran Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Wakaf MAINPP) dengan kerjasama AFFIN Islamic Bank.

Penganjuran tersebut turut menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman antara Wakaf MAINPP dengan ToyyibPay Sdn Bhd serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, Portal One Wakaf MAINPP dilancarkan bagi memudahkan masyarakat melaksanakan wakaf tunai secara digital.

Wakaf MAINPP turut menegaskan komitmennya untuk memastikan dana yang dikumpulkan dapat diterjemahkan kepada projek pembangunan sosioekonomi yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.


 

Must Watch Video

Advertisement