Skip to main content

Malaysia

Muse Enduro berpotensi jadi produk ekopelancongan Gua Musang

MUSE Enduro Berpotensi Jadi Produk Ekopelancongan Gua Musang -- MUSE Enduro
--fotoBERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Program MUSE Enduro 2026 berpotensi dikembangkan sebagai produk sukan rekreasi dan ekopelancongan di Gua Musang dengan mengetengahkan keunikan bentuk muka bumi, persekitaran semula jadi serta komuniti tempatan di kawasan pedalaman itu.

Pengerusi Kelab Sukan Permotoran Eksplorasi (ELS) Mohd Haizul Omar berkata penganjuran program berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada peminat sukan permotoran lasak menikmati pengalaman tunggangan “enduro”, malah berpotensi membawa nilai tambah kepada komuniti dan ekonomi setempat.

Beliau berkata aktiviti permotoran dan pengembaraan yang dirancang secara sistematik berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada penduduk menerusi permintaan terhadap makanan, penginapan, perkhidmatan sokongan serta aktiviti berkaitan pelancongan.

“Kita mahu program ini berkembang dengan membawa manfaat bersama. Selain memberi ruang kepada peminat enduro menikmati aktiviti yang mereka minati, kita mahu kehadiran peserta turut memberi nilai tambah kepada komuniti dan ekonomi setempat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Haizul berkata keunikan kawasan berkenaan, termasuk kewujudan komuniti tempatan seperti masyarakat Orang Asli, boleh diketengahkan secara bertanggungjawab dalam usaha mempromosikan ekopelancongan di Gua Musang, di samping meningkatkan kesedaran peserta mengenai kepentingan menghormati masyarakat dan persekitaran di lokasi aktiviti.

Image
MUSE Enduro Berpotensi Jadi Produk Ekopelancongan Gua Musang -- MUSE Enduro

 

MUSE Enduro 2026 yang berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos lepas itu memberi peluang kepada peserta menikmati laluan mencabar di kawasan pedalaman Gua Musang serta berinteraksi secara langsung dengan komuniti Orang Asli menerusi sesi ramah mesra, jamuan makan bersama dan aktiviti kebudayaan.

Program anjuran utama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama ELS, Kelab ST Rally dan Holeshot Motowear itu turut menarik penyertaan peserta dari Indonesia, Thailand dan Singapura selain peserta tempatan dari seluruh Malaysia, sekali gus menyerlahkan potensi Gua Musang sebagai destinasi sukan pengembaraan dan ekopelancongan di rantau ini.

Mohd Haizul berkata pendekatan menggabungkan sukan permotoran dengan elemen pelancongan, kesukarelawanan, pembangunan komuniti dan tanggungjawab sosial itu selari dengan hasrat ELS untuk menjadikan MUSE Enduro sebagai program tahunan.

Selain itu, katanya ia juga bagi memperluas kerjasama dengan agensi kerajaan, pihak swasta dan pihak berkepentingan bagi memastikan penganjuran akan datang memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat serta kawasan setempat. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement