Skip to main content

Malaysia

Musim ikan selar papan 'jinak', jadi lubuk rezeki kaki pancing

Tanjung Anglers Fish Hunter (TAFH)
Kumpulan pemancing TAFH menunjukkan hasil buruan ikan selar papan yang memasuki kawasan benteng berdekatan muara Drawbridge yang kini menjadi tumpuan kaki pancing.

KUALA TERENGGANU: Musim ikan selar papan memasuki kawasan muara sungai Terengganu berdekatan kawasan Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini sejak April lalu menjadi 'lubuk' rezeki dan menarik perhatian golongan kaki pancing.

​Tinjauan mendapati seawal jam 6.30 pagi, kawasan muara berhampiran Tanjung di sini sudah mula dipenuhi pemancing yang sanggup berkumpul demi merasai sendiri pengalaman memburu spesies berkenaan yang dikatakan aktif pada awal pagi.

​Presiden Tanjung Anglers Fish Hunter (TAFH), Wan Mohd Nazeri Wan Ngah, 48, berkata, spesies berkenaan biasanya muncul sekitar April hingga Julai dan bergerak mengikut perubahan arus air.

​Menurutnya, fenomena ikan ‘boiling’ (ikan timbul di permukaan air) sering berlaku pada awal pagi apabila kumpulan ikan tersebut mula memasuki kawasan muka kuala berdekatan benteng pemecah ombak.

​“Biasanya selepas subuh sekitar jam 6.30 pagi, ikan mula mengikut arus masuk dan waktu kemuncak (paling aktif) memang sekitar jam 7 pagi.

​“Selepas jam 8 pagi biasanya ikan dah mula kurang dan sekitar jam 9 pagi keadaan di sini kembali sunyi daripada pemancing,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

​Wan Mohd Nazeri yang berasal dari Kampung Tanjung Nisan Empat itu berkata, kehadiran selar papan secara berkumpulan menjadikan spesies itu antara kegemaran peminat teknik casting (pancingan layang) kerana sifatnya yang agresif menyambar umpan.

​Katanya, lokasi di penghujung benteng berhampiran muka kuala menjadi antara 'hotspot' utama ekoran pertembungan arus sungai dan laut yang menghasilkan pusaran air dan menjadi laluan ikan bermain arus.

​"Kalau musim begini memang ramai yang turun. Hari ini sahaja sekitar 40 orang berkumpul di sini tetapi ramai juga sudah pulang awal kerana perlu pergi bekerja," ujarnya yang aktif memancing sejak tahun 2005.

​Bercerita lanjut, Wan Mohd Nazeri berkata, setiap musim mempunyai spesies sasaran tersendiri bergantung kepada pergerakan ikan mengikut kalendar tahunan.

​"Tiap-tiap tahun ada laluan dia. Biasanya dalam bulan Januari ikan talang akan masuk muara. Selepas itu dalam bulan April ini ikan selar papan pula masuk dan ada lagi beberapa ikan gred A," katanya yang pernah melalui pengalaman manis menaikkan ikan tenggiri seberat lapan kilogram di Seberang Takir pada 2017.

​Ujarnya, ikan selar papan bukan sahaja popular dalam kalangan pemancing, malah turut menjadi kegemaran ramai kerana isinya yang enak dimasak dengan pelbagai menu termasuk dibakar, dipanggang atau kari.

​Sementara itu, seorang peniaga dari Kampung Pasir Panjang, Mohamad Ariff Yusuff, 32, berkata, dia yang mula aktif memancing sejak lima tahun lalu tidak melepaskan peluang untuk turun ke muara setiap kali musim selar papan tiba.

​Katanya, suasana meriah di kawasan muara pada waktu pagi memberikan kepuasan tersendiri kepada komuniti kaki pancing tempatan.

​"Bila musim ikan ini masuk memang meriah. Kadang-kadang tengok boiling dekat permukaan air pun dah boleh buat kita teruja nak dapatkan ikan," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement