KUALA LUMPUR: Ratu cantik Malaysia, Taanusiya Chetty mencipta pencapaian membanggakan apabila menamatkan saingan Miss World 2026 di tempat ketiga, selepas berjaya mara sehingga kelompok Top 6 pertandingan berprestij itu.
Pencapaian itu melengkapkan perjalanan cemerlang Taanusiya pada edisi ke-73 Miss World, selepas beliau terlebih dahulu mara ke Top 20 menerusi pencapaian Top 2 Beauty With a Purpose, sebelum meneruskan kemaraan sehingga Top 6.
Ketika berada dalam kelompok Top 6, Taanusiya turut berdepan sesi soal jawab bersama juri yang antara lain menyentuh mengenai tanggungjawab melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang serta bagaimana beliau mahu memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk bersama-sama menjayakan usaha berkenaan.
Dalam jawapannya, Taanusiya mengaitkan peranan itu dengan profesionnya sebagai seorang guru, dengan menekankan kepentingan mendidik kanak-kanak sejak usia muda mengenai tanggungjawab menjaga alam sekitar dan bagaimana perubahan memerlukan masa untuk berkembang.
Tempat pertama yang menduduki takhta edisi kali ini, yang berlangsung di Vietnam, diraih wakil dari Dominican Republic iaitu Joheirry Mola Dominguez, manakala tempat kedua disandang ratu cantik Sepanyol, Elisabeth Alabern.
Perjalanan Taanusiya dalam pertandingan itu turut mendapat perhatian menerusi Beauty With a Purpose, salah satu komponen penting Miss World yang mengetengahkan usaha kemanusiaan dan impak sosial peserta.
Beliau berjaya berada dalam Top 2 Beauty With a Purpose, sekali gus memperoleh laluan automatik ke kelompok Top 20 sebelum meneruskan saingan ke peringkat seterusnya.
Pencapaian berkenaan berkait rapat dengan usaha advokasi sosial yang dibawa Taanusiya, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan golongan muda dan khidmat komuniti.
Taanusiya, 26, mengasaskan Be The Change Malaysia pada 2022, sebuah gerakan yang memberi tumpuan kepada pendidikan, bimbingan serta pembangunan emosi kanak-kanak, sebelum inisiatif berkenaan didaftarkan secara rasmi pada 2025.
Menerusi gerakan itu, beliau turut menjalankan program melibatkan komuniti Orang Asli, kanak-kanak berkeperluan khas dan pesakit kanak-kanak, dengan usaha berkenaan dilaporkan memberi manfaat kepada ribuan kanak-kanak di Malaysia serta rantau ASEAN.
Perjalanan hidup Taanusiya turut dibentuk oleh pengalaman kehilangan ibunya dalam kemalangan jalan raya ketika berusia 14 tahun. Pengalaman itu menjadi antara pendorong kepada komitmennya untuk membantu kanak-kanak serta komuniti yang memerlukan.
Berasal dari Kuala Lumpur, Taanusiya merupakan seorang guru Bahasa Inggeris, model dan aktivis dengan latar belakang pendidikan Teaching English as a Second Language (TESL).
Beliau juga fasih dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil, kebolehan yang turut mencuri perhatian ketika Head-to-Head Challenge apabila beliau menggunakan keempat-empat bahasa itu ketika berkongsi perjalanan hidup serta komitmennya terhadap isu sosial.
Selain Beauty With a Purpose, Malaysia turut berjaya menempatkan diri dalam Top 5 Asia & Oceania bagi Multimedia Challenge, manakala Taanusiya menyertai beberapa acara utama sepanjang pertandingan termasuk Opening Ceremony, Dances of the World dan Top Model.
Dalam mengetengahkan identiti negara di pentas antarabangsa, Taanusiya turut meluangkan masa berbulan-bulan mempelajari silat tari bagi membawa elemen seni dan budaya Malaysia dalam persembahannya.
Sebelum membawa cabaran negara ke Miss World 2026, Taanusiya mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa menerusi Miss Global 2023. Ketika meraih gelaran Miss World Malaysia, beliau turut membawa pulang tujuh anugerah tambahan termasuk Top Model Award, Best in Evening Gown dan Charity Queen Award.
Kejayaan meraih tempat ketiga Miss World 2026 menjadi kemuncak perjalanan Taanusiya dalam pertandingan itu, selepas melalui beberapa peringkat utama sambil membawa mesej mengenai pendidikan, pemerkasaan generasi muda dan perubahan sosial bersama nama Malaysia di pentas dunia.