KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) akan meneliti dan memperkemaskan prosedur serta garis panduan penganjuran program bagi memastikan setiap pengisian sentiasa berpaksikan nilai, adab dan batas yang sewajarnya susulan teguran berhubung majlis penutup Program Asasi.
Perkara itu dimaklumkan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, menerusi mesej kepada pendakwah, Ustazah Asma' Harun, yang kemudian dikongsikan beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Asma', selain menerima mesej daripada Noor Azuan, beliau turut dihubungi menerusi panggilan telefon oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Dr Zamri Radzi, susulan penulisannya mengenai program berkenaan yang menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Beliau berkata, ada yang bersetuju dengan pandangan dikemukakan, ada yang berbeza pendapat dan tidak kurang juga yang melontarkan kritikan agak berat terhadap pihak universiti.
Dalam mesej itu, Noor Azuan yang kini berada di United Kingdom bagi memenuhi tugasan rasmi universiti memohon maaf kerana hanya berkesempatan membalas mesej Asma'.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas teguran, pandangan dan kasih sayang yang dizahirkan terhadap Universiti Malaya serta menegaskan bahawa beliau menerima setiap pandangan yang disampaikan dengan hati terbuka.
"Teguran yang lahir daripada keikhlasan adalah cerminan kasih kepada institusi dan generasi yang sedang kita didik bersama," katanya dalam mesej berkenaan.
Noor Azuan berkata, beliau sudah menerima penjelasan awal daripada Zamri berhubung perkara yang dibangkitkan berkaitan majlis penutup Program Asasi dan memandang isu itu dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, beliau juga sudah meminta pihak Hal Ehwal Pelajar meneliti dan memperkemaskan lagi prosedur serta garis panduan penganjuran program agar setiap pengisian bukan sahaja memberi manfaat, malah sentiasa berpaksikan nilai, adab dan batas yang sewajarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Universiti Malaya tidak pernah menganggap dirinya sempurna dan akan terus belajar, bermuhasabah serta berusaha menjadi lebih baik selagi masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Noor Azuan berkata, beliau berharap setiap langkah penambahbaikan itu menjadi asbab kebaikan kepada semua, selain mempelawa Asma' menghubunginya pada bila-bila masa sekiranya mempunyai pandangan atau perkara yang ingin dibincangkan.
Mengulas perkembangan itu, Asma' berkata, beliau berasa sangat berbesar hati dan benar-benar kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin universiti berkenaan.
Menurutnya, walaupun UM merupakan sebuah institusi yang besar dan berprestij, mereka tidak memilih untuk berdiam diri atau menolak pandangan masyarakat.
Sebaliknya, katanya, kedua-duanya mengambil pendekatan menghubungi beliau, mendengar dengan teliti, memberikan penjelasan secara profesional serta berkongsi langkah-langkah yang sedang dan akan diambil oleh pihak universiti.
Asma' berkata, antara kandungan mesej yang paling memberi kesan kepadanya ialah kenyataan Noor Azuan bahawa "teguran yang lahir daripada keikhlasan adalah cerminan kasih kepada institusi dan generasi yang sedang kita didik bersama."
Beliau menyifatkan kata-kata itu mempunyai makna yang besar serta mencerminkan kewibawaan seorang pemimpin yang bersedia menerima pandangan masyarakat dengan hati terbuka.
Pada masa sama, Asma' menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau memburukkan nama Universiti Malaya.
Sebaliknya, beliau bersyukur kerana kegusaran yang disuarakan masyarakat mendapat perhatian daripada barisan kepimpinan tertinggi universiti.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai manifestasi budaya ilmu yang sebenar kerana perbezaan pandangan membuka ruang kepada semua pihak untuk saling mendengar, saling memahami dan bersama-sama mencari jalan yang lebih baik.
Asma' turut berharap segala langkah penambahbaikan yang dimaklumkan oleh pihak universiti benar-benar diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
"Inilah budaya ilmu yang sebenar. Perbezaan pandangan telah membuka ruang untuk kita saling mendengar, saling memahami dan bersama-sama mencari jalan yang lebih baik. Semoga semua ini benar-benar diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
"Akhir sekali, sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Profesor Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dan Profesor Dr Zamri Radzi atas sikap profesional, keterbukaan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam menangani perkara ini.
"Semoga ALLAH SWT memberkati setiap usaha yang dilakukan, memimpin setiap keputusan yang diambil serta mengurniakan hikmah kepada kita semua dalam mendidik generasi yang berilmu, beradab dan berakhlak mulia, " kata Asma'. - Sinar Harian