Skip to main content

Teknologi

Panasonic perkasa ekosistem kehidupan pintar bersepadu

Panasonic, AI
(Dari kiri) Seelan Kandasamy bersama Pengarah Pusat Platform Panasonic Appliances R&D Centre Singapore, Jiang Fu Wei ketika sesi pelancaran Penyelesaian Kehidupan Pintar Panasonic S.iCITY dan Ekosistem Pengawasan Pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI). - Foto Panasonic Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kehidupan pintar kini semakin menjadi keperluan apabila pengguna mencari penyelesaian yang lebih mudah, selamat dan cekap untuk menguruskan kehidupan harian.

Seiring permintaan terhadap persekitaran yang lebih saling berhubung dan lestari, Panasonic Malaysia memperkenalkan Penyelesaian Kehidupan Pintar Panasonic S.iCITY bersama Ekosistem Pengawasan Pintar berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menyokong pembangunan komuniti dan bandar pintar masa hadapan.

Pengarah Bersekutu, Penyelesaian Sistem Panasonic Malaysia, Seelan Kandasamy berkata, pelancaran tersebut bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, sebaliknya menawarkan sebuah ekosistem bersepadu yang menyokong agenda pendigitalan negara.

Menurut beliau, sistem pengawasan berasaskan AI yang diperkenalkan mampu membantu organisasi beralih daripada pendekatan keselamatan yang bersifat reaktif kepada langkah pencegahan yang lebih proaktif.

“Hari ini, fokus kami adalah pada sistem pengawasan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan langkah pencegahan diambil lebih awal. 

“Secara tradisional, pekerja bidang keselamatan akan melihat sesuatu kejadian apabila sudah berlaku tetapi hari ini, AI mampu menganalisis tingkah laku dan memberi amaran kepada organisasi lebih awal sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan supaya tindakan dapat diambil dengan lebih pantas,” katanya pada majlis pelancaran Penyelesaian Kehidupan Pintar Panasonic S.iCITY dan Ekosistem Pengawasan Pintar AI di sini, pada Selasa.

Image
Panasonic, AI
Pengguna boleh mengawal beberapa fungsi penting menerusi satu aplikasi mudah alih, termasuk pencahayaan, penyaman udara, kunci pintar, langsir bermotor dan sensor keselamatan. - Foto Panasonic Malaysia

Penyelesaian Kehidupan Pintar Panasonic S.iCITY membolehkan pengguna mengawal pelbagai peranti menerusi satu aplikasi mudah alih, termasuk pencahayaan, langsir bermotor, penyaman udara, peralatan elektrik, kunci pintar dan sensor keselamatan gas.

Platform itu turut menyokong automasi pintar, kawalan senario seperti Good Night, Away Mode dan Movie Mode, pengurusan pelawat, integrasi pembantu suara serta keupayaan pemantauan tenaga bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi dan kelestarian jangka panjang.

Dalam masa sama, Panasonic turut memperkenalkan Ekosistem Pengawasan Pintar AI yang dilengkapi analitik video, pengesanan pencerobohan, pengecaman wajah, pengecaman nombor pendaftaran kenderaan (ANPR), pengimejan terma serta pengurusan insiden pintar bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan kediaman, bangunan komersial, kemudahan kerajaan, kampus pendidikan dan bandar pintar.

Seelan berkata, Panasonic melihat perkembangan pesat pendigitalan dan pembangunan infrastruktur di Malaysia sebagai peluang untuk memperkenalkan penyelesaian yang mampu memperkayakan cara masyarakat bekerja, hidup dan berinteraksi dengan teknologi.

Beliau menjelaskan bahawa Panasonic kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem yang menyokong kehidupan pintar, keselamatan pintar dan kecekapan tenaga secara menyeluruh, selaras dengan agenda bandar pintar dan kelestarian negara.

Menurut beliau lagi, pengalaman Panasonic selama lebih satu abad di peringkat global serta lima dekad di Malaysia menjadi asas kepada keyakinan pelbagai pihak terhadap teknologi dan penyelesaian yang ditawarkan syarikat itu.

“Panasonic telah beroperasi selama 108 tahun, syarikat ini ditubuhkan seawal 1918. Kami telah melakukan pelbagai operasi selama 50 tahun di Malaysia. Ramai pemaju juga mengambil keputusan untuk menggunakan produk Panasonic dalam pembangunan mereka. 

“Jadi, ekosistem ini memberi nilai tambah kepada pembangunan kerana keutamaan pengguna kini semakin beralih daripada aspek estetika kepada keselamatan dan teknologi rumah pintar,” jelasnya.

Image
Panasonic, AI
Seelan Kandasamy (kiri) dan Jiang Fu Wei (kanan) menekankan komitmen ini selari dengan pertumbuhan digital semasa di Malaysia. - Foto Panasonic Malaysia

Penyelesaian bersepadu yang diperkenalkan itu turut menyokong pematuhan ESG, Bangunan Hijau dan kecekapan tenaga melalui gabungan automasi pintar, penyelesaian kualiti udara dalaman, sistem penyaman udara berkecekapan tenaga serta teknologi mesra alam yang lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai Panasonic S.iCITY dan penyelesaian pintar Panasonic Malaysia, layari www.panasonic.com/my/business/s-icity atau laman web rasmi www.panasonic.com.my.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Panasonic Malaysia di talian 03-7953 7600.

Must Watch Video

Advertisement