Skip to main content

Gaya Hidup

Had umur 16 tahun instrumen penting kurangkan eksploitasi media sosial golongan rentan

61725940237_tbsmartphone.jpg
Penetapan kepada had umur 16 tahun didapati adalah munasabah dari sudut perkembangan psikologi. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Langkah menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menyekat akses digital kanak-kanak, sebaliknya sebagai pendekatan mendidik dan mempersiapkan mereka memasuki ruang siber secara lebih selamat dan bertanggungjawab.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Prof Madya Mohd Al Adib Samuri berkata langkah berkenaan merupakan instrumen penting mengurangkan pendedahan awal terhadap risiko seperti kandungan berbahaya, buli siber, eksploitasi seksual dan pelanggaran privasi.

Advertisement

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membangunkan model penguatkuasaan yang sesuai dengan konteks Malaysia, serta selaras dengan prinsip hak kanak-kanak.

“Dasar yang baik adalah yang melindungi kanak-kanak daripada bahaya, tetapi pada masa sama tidak menafikan hak serta kebebasan mereka untuk belajar, berkembang dan mengambil bahagian dalam dunia digital secara berperingkat.

“Mungkin ada pendekatan berbeza mengikut umur, risiko dan jenis platform. Platform yang lebih berisiko tinggi boleh dikenakan sekatan lebih ketat, tetapi ruang digital yang bersifat pendidikan, komunikasi atau pembangunan kendiri tidak sepatutnya ditutup kepada kanak-kanak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-Kanak CPC International Dr Noor Aishah Rosli pula berpendapat, penetapan kepada had umur 16 tahun adalah munasabah dari sudut perkembangan psikologi.

Beliau berkata individu pada usia itu lazimnya telah memiliki keupayaan berfikir secara abstrak serta lebih mampu mengawal emosi, sekali gus membantu mereka berinteraksi secara lebih matang dalam talian.

Penetapan had umur itu juga akan mampu mengurangkan risiko golongan di bawah umur mengalami anxiety (kebimbangan), kemurungan, tekanan serta ketagihan penggunaan media sosial.

“Malah, ia boleh menggalakkan hubungan lebih sihat dengan keluarga dan rakan melalui aktiviti fizikal berbanding interaksi semata-mata di platform dalam talian,” katanya.

Beliau pada masa sama menekankan kepentingan kawal selia dan penglibatan ibu bapa serta penjaga dalam memberi keizinan kepada golongan di bawah umur, untuk memiliki gajet serta melayari laman sosial.

“Kita tak boleh nafikan terus hak untuk bersosial, kerana ia elemen penting dalam perkembangan identiti sosial. Apabila kerajaan dan platform memainkan peranan, ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan.

“Namun kita tidak boleh terlalu tegas sehingga mereka berisiko memberontak, kerana pada usia muda secara psikologinya anak-anak ini tidak suka dihalang, jadi ibu bapa boleh beri galakkan untuk mereka layari perkara yang bermanfaat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berpendapat pelaksanaan had umur 16 tahun penggunaan media sosial, perlu diselarikan dengan pemerkasaan literasi digital daripada peringkat awal pendidikan.

Beliau berkata pendidikan literasi digital merupakan satu keperluan, memandangkan dunia maya kini sudah menjadi seperti sebahagian daripada asas kehidupan manusia.

“Tanpa pendidikan literasi digital ini, kita lihat ada pengguna media sosial membuat kandungan tanpa peka sensitiviti orang lain, salah guna kemudahan di platform dan tidak berkeupayaan membezakan maklumat benar mahupun palsu yang mereka terima,” katanya.

Justeru itu, Siraj mencadangkan agar pendidikan literasi digital memasukan silibus pengurusan identiti digital, ancaman siber, keselamatan peranti, semakan kesahihan sumber maklumat serta pendidikan terkait manfaat, risiko dan ancaman salah guna kecerdasan buatan (AI).

Dalam pada itu Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, menyifatkan cadangan hak umur itu sebagai satu langkah progresif  memastikan platform Internet selamat untuk semua.

Beliau berharap kerajaan dapat memperincikan pelaksanaan peraturan berkenaan, bagi memastikan ia mencapai objektif sebenar yang diingini.

“Kita nak tahu sekatan itu dilakukan macam mana, melibatkan platform apa, kerana generasi muda ini, contohnya jika kita halang akses mereka kepada platform A, mereka akan ada pelbagai cara untuk dapat pula akses kepada platform B dan C,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), masih menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan tersebut.

Beliau berkata proses itu bertujuan mendapatkan pandangan menyeluruh serta menangani kebimbangan pihak berkaitan, selain memastikan matlamat utama kerajaan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam maya dapat dicapai.

Fahmi memaklumkan pelaksanaan peraturan itu dijangka seawal Jun ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video