Skip to main content

Gaya Hidup

[KOLUMNIS] Istilah bola sepak: Menelusuri sejarah, etimologi dan perkembangan bahasa

51612568410_TBPialaDunia.jpg
Dalam konteks sukan bola sepak pula, bentuk kata Portugis seperti golo, liga dan capitão mempunyai hubungan etimologi yang rapat dengan istilah Melayu, walaupun kebanyakan istilah bola sepak moden sebenarnya memasuki kosa kata bahasa Melayu melalui bahasa Inggeris. - Gambar hiasan
Advertisement

BAHASA sentiasa berkembang seiring dengan perubahan tamadun manusia. Apabila sesuatu masyarakat menerima budaya, ilmu, teknologi atau sukan baharu, bahasa mereka turut berkembang melalui penciptaan istilah atau peminjaman kata daripada bahasa lain. Dalam konteks bahasa Melayu fenomena ini dapat dilihat melalui istilah yang digunakan dalam sukan bola sepak.

Bola sepak moden lahir di England pada pertengahan abad ke-19 apabila undang-undang permainan diselaraskan oleh The Football Association (FA) pada tahun 1863. Maka permainan tersebut tersebar ke seluruh dunia melalui perdagangan, penjajahan, pendidikan, dan media antarabangsa (thefa.com). 

Bersama-sama penyebaran istilah sukan ini, pelbagai istilah teknikal turut merentas sempadan bahasa. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang bersifat terbuka menerima sebahagian besar istilah tersebut melalui proses peminjaman, penyesuaian ejaan, dan pembentukan istilah baharu.

Teori kata pinjaman telah dihuraikan oleh beberapa ahli linguistik terkemuka seperti Leonard Bloomfield dan Einar Haugen. Manakala Asmah Haji Omar pula mengaplikasikan konsep tersebut dalam konteks bahasa Melayu. Perspektif mereka ternyata berbeza. 

Bloomfield (1933) menegaskan bahawa kata pinjaman tidak semestinya mengekalkan bentuk asalnya. Sebaliknya perkataan tersebut mengalami penyesuaian mengikut sistem bunyi (fonologi), bentuk kata (morfologi) dan makna bahasa penerima. 

Haugen (1950) memperincikan proses peminjaman dengan lebih sistematik. Beliau membahagikan peminjaman kepada tiga bentuk utama, iaitu kata pinjaman penuh, pinjaman campuran dan terjemahan pinjaman. Teori Haugen banyak digunakan dalam kajian peristilahan moden kerana menjelaskan bagaimana sesuatu bahasa bukan sahaja meminjam perkataan malah turut mencipta padanan baharu.

Asmah Haji Omar pula menegaskan bahawa bahasa Melayu berkembang melalui proses penerimaan unsur asing sejak berabad-abad lamanya. Kajian beliau lebih dekat dengan sejarah dan pembentukan serta penyesuaian mengikut sistem bahasa Melayu. 

Menurut beliau, kata pinjaman diterima kerana memenuhi keperluan komunikasi, memperkenalkan konsep baharu dan memperkayakan kosa kata bahasa Melayu.  Namun, kata pinjaman tidak diterima secara sewenang-wenangnya. Sebaliknya, perkataan tersebut disesuaikan dengan sistem bunyi bahasa Melayu, sistem ejaan Rumi dan sistem morfologi bahasa Melayu.

Kebanyakan ahli linguistik bersetuju, kata pinjaman ialah perkataan yang diambil daripada bahasa lain untuk memenuhi keperluan komunikasi dalam bahasa penerima. Fenomena ini bukan tanda kelemahan sesuatu bahasa, sebaliknya membuktikan bahawa bahasa sentiasa hidup dan berkembang. 

Bahasa Melayu sendiri sejak zaman awal telah menyerap ribuan perkataan daripada bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, Tamil, Portugis, Belanda, dan Inggeris sebelum menyesuaikannya mengikut sistem bunyi serta tatabahasanya. Dalam sukan bola sepak, kata pinjaman bukan sekadar memperkayakan kosa kata, malah menggambarkan sejarah hubungan bahasa dan tamadun dunia.

Konsep kata pinjaman dalam bahasa Melayu

Dalam ilmu linguistik, terdapat beberapa bentuk peminjaman. Pertama ialah pinjaman langsung, iaitu perkataan yang diambil tanpa perubahan seperti liga dan penalti. Kedua ialah pinjaman dengan penyesuaian ejaan, seperti offside menjadi ofsaid. Ketiga ialah terjemahan pinjaman, iaitu konsep bahasa asing yang diterjemahkan sepenuhnya ke bahasa Melayu. Contohnya goalkeeper diterjemahkan sebagai penjaga gol, dan midfielder menjadi pemain tengah. Pendekatan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu tidak hanya meminjam bulat-bulat istilah asing tetapi turut berusaha menghasilkan istilah yang lebih mesra kepada penutur tempatan.
 

Image
81729046011_WorldCup.jpg


Etimologi istilah utama bola sepak

Gol
Perkataan “gol” merupakan istilah paling popular dalam sukan bola sepak. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini berasal daripada goal yang pada asalnya membawa maksud sasaran atau penghujung sesuatu perjalanan. Bahasa Sepanyol menggunakan perkataan gol, manakala bahasa Portugis menggunakan golo. Bahasa Melayu memilih kata “gol” kerana lebih ringkas dan mudah disebut. Daripada satu perkataan ini lahirlah pelbagai istilah baharu seperti “penjaga gol”, “gol sendiri”, “gol kemenangan”, “gol penyamaan” dan “gol penalti”.

Liga
Istilah “liga” mempunyai sejarah yang jauh lebih tua. Akar perkataan ini berasal daripada bahasa Latin ligare yang bermaksud “mengikat” atau “menyatukan”. Daripada kata kerja tersebut lahirlah kata liga dalam bahasa Portugis dan Sepanyol yang membawa maksud persatuan atau gabungan, manakala bahasa Inggeris menggunakan bentuk league (Kamus Latin, 2011). Apabila konsep pertandingan berjadual berkembang di Eropah, perkataan ini digunakan untuk merujuk kepada pertandingan yang menghimpunkan beberapa pasukan dalam satu musim. Bahasa Melayu menerima kata “liga” kerana ejaan dan sebutannya serasi dengan sistem fonologi Melayu.

Penalti
Perkataan “penalti” berasal daripada bahasa Inggeris penalty yang berakar daripada bahasa Latin poena, yang bermaksud “hukuman”. Bahasa Portugis membentuknya sebagai penálti (Oxford English Dictionary Online). Dalam bahasa Melayu, istilah ini diserap menjadi “penalti” dan telah mantap penggunaannya dalam pelbagai bidang, bukan sahaja sukan malah undang-undang, ekonomi, dan pentadbiran. Kamus Dewan mentakrifkan “penalti” sebagai hukuman atau denda, serta tendangan percuma dari tanda penalti dalam permainan bola sepak.

Kapten
Istilah “kapten” berasal daripada akar Latin caput yang bermaksud “kepala”. Daripada akar ini lahirlah captain dalam bahasa Inggeris, capitão dalam bahasa Portugis, capitaine dalam bahasa Perancis dan capitán dalam bahasa Sepanyol (Merriam-Webster Dictionary). Dalam bahasa Melayu, “kapten” digunakan untuk merujuk kepada ketua pasukan yang mengetuai pemain di atas padang. Kosa kata ini akhir digunakan lebih meluas dalam bidang-bidang lain seperti perkapalan dan aeroangkasa.

Ofsaid
Istilah “ofsaid” pula menunjukkan bagaimana bahasa Melayu menyesuaikan ejaan bahasa Inggeris. Perkataan asalnya ialah offside. Sebutan bahasa Inggeris dikekalkan tetapi ejaan diubah supaya lebih hampir dengan sebutan masyarakat Melayu sehingga membentuk kata “ofsaid”.

Stadium
Perkataan ini berasal daripada bahasa Yunani kuno, iaitu stadion, yang pada asalnya merujuk kepada satu unit ukuran panjang, kira-kira 600 kaki (sekitar 180 meter). Oleh sebab acara lumba lari diadakan di atas laluan sepanjang satu stadion, perkataan itu kemudiannya berkembang maknanya kepada tempat berlangsungnya pertandingan olahraga. Daripada bahasa Yunani, perkataan tersebut diserap dalam bahasa Latin sebagai “stadium”, dengan makna yang hampir sama, iaitu tempat atau gelanggang acara sukan (etymonline.com). Apabila bahasa-bahasa Eropah moden berkembang, bentuk Latin ini dikekalkan dalam pelbagai bahasa, seperti stadium (Inggeris), stadium (Belanda), stadion (Jerman), stade (Perancis), estadio (Sepanyol) dan estádio (Portugis). Bahasa Melayu menerima istilah “stadium” melalui penggunaan antarabangsa khususnya melalui bahasa Inggeris pada zaman penjajahan British. Bentuk ejaannya dikekalkan tanpa perubahan kerana perkataan “stadium” telah menepati sistem ejaan rumi bahasa Melayu.

Oleh sebab bahasa Latin menjadi bahasa ilmu dan pentadbiran Eropah selama beratus-ratus tahun, banyak istilah moden sebenarnya mempunyai akar yang sama walaupun bentuknya berbeza dalam bahasa Inggeris, Portugis, Perancis atau Sepanyol. Negara-negara ini merupakan kuasa besar Eropah pada zaman penjajahan. 

Dalam konteks sukan bola sepak pula, bentuk kata Portugis seperti golo, liga dan capitão mempunyai hubungan etimologi yang rapat dengan istilah Melayu, walaupun kebanyakan istilah bola sepak moden sebenarnya memasuki kosa kata bahasa Melayu melalui bahasa Inggeris. 

Pendekatan ini memperlihatkan usaha perancang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa bidang sukan yang lengkap dan bahasa Melayu telah membuktikan keupayaannya menyerap, menyesuaikan dan membakukan istilah antarabangsa tanpa kehilangan identiti sendiri. Itulah kekuatan sebenar bahasa Melayu sebagai bahasa yang hidup, terbuka dan sentiasa berkembang mengikut keperluan zaman.

Tahniah diucapkan kepada pasukan bola sepak Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia edisi 2026. Enhorabuena Espana!


* Azura Halid merupakan Munsyi Dewan yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

 

Must Watch Video

Advertisement