KUALA LUMPUR: Majoriti golongan muda di Malaysia masih berhasrat untuk berkahwin dan mempunyai anak, namun kekangan ekonomi, peningkatan kos sara hidup serta cabaran mendapatkan pekerjaan yang stabil, menyebabkan ramai menangguhkan hasrat itu.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata Kaji Selidik Persepsi Awam Dalam Talian LPPKN bersempena dengan Hari Penduduk Sedunia 2025, yang melibatkan 3,625 rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mendapati, 90.9 peratus responden bujang berhasrat untuk berkahwin, manakala 91.1 peratus mahu mempunyai anak pada masa hadapan.
“Dalam kalangan responden yang telah berkahwin pula, 33.8 peratus berhasrat untuk menambah cahaya mata, dengan purata saiz keluarga yang diinginkan ialah 2.8 orang anak.
“Bagaimanapun, 17.6 peratus responden melaporkan mereka tidak dapat mencapai bilangan anak yang diinginkan disebabkan pendapatan isi rumah yang tidak mencukupi, peningkatan kos sara hidup, jadual kerja yang mencabar, masalah kesuburan serta faktor kesihatan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini.
Rohani berkata dapatan itu menunjukkan, golongan muda tidak menolak perkahwinan atau keibubapaan, selain masih mengimpikan sebuah keluarga, namun berdepan cabaran berkaitan ekonomi, pekerjaan, kos sara hidup, perumahan dan kesuburan yang menyukarkan hasrat itu direalisasikan.
“Tanggungjawab kerajaan adalah untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan aspirasi tersebut menjadi kenyataan,” katanya yang menjelaskan dapatan tersebut selari dengan Tinjauan Masa Depan Demografi 2026 oleh Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).
Beliau berkata berdasarkan tinjauan UNFPA yang melibatkan lebih 100,000 orang dewasa berumur antara 18 hingga 39 tahun di 73 negara, lebih dua pertiga responden berharap untuk berkahwin atau hidup bersama dengan pasangan, manakala kira-kira 90 peratus mahu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.
Bagi menyokong aspirasi itu, Rohani berkata kerajaan menerusi Dasar KASIH Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026-2030, akan terus memberi tumpuan kepada pemerkasaan institusi keluarga, perancangan keluarga, peningkatan kualiti keibubapaan serta pengukuhan sokongan kepada keluarga di setiap peringkat kehidupan.
“Melalui LPPKN, pelbagai inisiatif telah diperkasakan termasuk Program SMARTSTART, pendidikan kekeluargaan, kaunseling perkahwinan dan keluarga, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, perkhidmatan Klinik Nur Sejahtera, rawatan subfertiliti serta Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) bagi membantu pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan terus memperkukuh ekosistem mesra keluarga menerusi pelaksanaan cuti bersalin selama 98 hari, cuti paterniti tujuh hari, hak memohon aturan kerja fleksibel serta usaha meningkatkan akses kepada perumahan, pekerjaan berkualiti, perlindungan sosial, perkhidmatan kesihatan dan kemudahan asuhan serta penjagaan kanak-kanak.
-- BERNAMA