KUALA LUMPUR: NONGSHIM, pengeluar jenama mi segera popular Korea, SHIN Ramyun, terus memperkukuh komitmennya di Malaysia dengan menjadikan negara ini sebagai antara pasaran strategik bagi pertumbuhan jangka panjang syarikat itu di rantau Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presidennya, Antonio Jo berkata, komitmen berkenaan diterjemahkan melalui pelaburan berterusan terhadap generasi pengguna muda Malaysia menerusi penawaran makanan Korea yang asli, premium dan diperakui Halal, di samping menghormati budaya serta citarasa tempatan.
Menurut beliau, sebagai jenama ramyun ikonik dari Korea Selatan, NONGSHIM melihat keperluan untuk mendekati golongan muda yang hidup dalam era digital, sentiasa terhubung dengan internet dan mengamalkan gaya hidup tanpa sempadan.
Sehubungan itu, syarikat berkenaan mengambil langkah memperluaskan pendekatan pemasarannya dengan menjalin kerjasama melalui program realiti popular, Big Stage Rocketfuel.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat membina hubungan emosi yang lebih dekat dengan generasi muda Malaysia dan mencipta pengalaman pengguna yang lebih bermakna.
“Malaysia juga merupakan antara pasaran paling menarik di Asia Tenggara kerana pengguna di sini menghargai makanan Korea yang asli, selain mementingkan kualiti dan jaminan Halal,” katanya dalam satu kenyataan.
Antonio berkata, strategi pemasaran NONGSHIM kini tidak lagi tertumpu kepada pengiklanan tradisional semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada pengalaman pengguna menerusi hiburan, kandungan digital, kerjasama bersama pempengaruh dan penglibatan langsung dengan pengguna.
Menurutnya, pendekatan itu penting dalam membina kesetiaan terhadap jenama dalam kalangan pengguna muda yang semakin terdedah kepada trend global serta mahukan produk yang menawarkan keaslian rasa Korea, ketelusan dan jaminan Halal.
Beliau turut memaklumkan bahawa NONGSHIM akan terus memperluaskan rangkaian produknya dengan memperkenalkan pelbagai perisa inovatif sejajar dengan perubahan cita rasa pengguna di seluruh dunia.
Sementara itu, Pengurus Komersial GBA Corporation Sdn Bhd, Foo Siew Kheng berkata, pengguna masa kini lebih cenderung memilih jenama yang menawarkan pengalaman autentik serta memahami gaya hidup mereka.
Sebagai pengedar utama produk makanan NONGSHIM di Malaysia, beliau berkata, kerjasama dengan Big Stage Rocketfuel memberi peluang kepada syarikat untuk memperkenalkan jenama itu kepada generasi muda melalui pendekatan yang lebih relevan, menarik dan dekat dengan kehidupan mereka.
“Hubungan yang dibina menerusi budaya, hiburan dan muzik mampu mencipta pengalaman yang bermakna serta mendekatkan jenama kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.