Skip to main content

Gaya Hidup

Pereka kostum legenda Hollywood, Bob Mackie meninggal dunia pada usia 87 tahun

FILE PHOTO: Bob Mackie attends the 27th Costume Designers Guild Awards in Los Angeles, California, U.S., February 6, 2025. REUTERS/Daniel Cole/File Photo
Bob Mackie yang terkenal dengan rekaan kostum penuh glamor dan berkilauan untuk barisan bintang ternama dunia termasuk Cher, Tina Turner, Dolly Parton dan Elton John, meninggal dunia pada usia 87 tahun. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

LOS ANGELES: Pereka kostum legenda Hollywood, Bob Mackie yang terkenal dengan rekaan kostum penuh glamor dan berkilauan untuk barisan bintang ternama dunia termasuk Cher, Tina Turner, Dolly Parton dan Elton John, meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Pemergian Mackie diumumkan menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasminya pada Isnin.

“Dengan penuh dukacita kami ingin memaklumkan bahawa Bob Mackie telah meninggal dunia hari ini.

“Beliau menjalani kehidupannya selama 87 tahun dengan penuh bermakna, merealisasikan impiannya sebagai pereka fesyen dan kostum, satu-satunya kerjaya yang sentiasa diidamkannya,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang kariernya yang menjangkau lebih enam dekad, Mackie meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Tony, sembilan Anugerah Emmy serta tiga pencalonan Oscar.

Mackie dikenali sebagai individu yang banyak membentuk imej dan identiti penyanyi serta pelakon terkenal, Cher.

Antara rekaan paling ikoniknya ialah kostum Mohawk yang dipakai Cher ketika menghadiri Anugerah Akademi (Oscar) pada 1986.

Busana berinspirasikan gaya showgirl itu menampilkan hiasan kepala berbentuk Mohawk yang dihiasi bulu serta memperlihatkan bahagian tengah badan Cher, sesuatu yang dianggap luar biasa dan mengejutkan pada era tersebut.

Penampilan berani itu kemudiannya menjadi antara momen fesyen paling kontroversi dan dikenang dalam sejarah Oscar.

Menurut Cher dalam dokumentari Bob Mackie: Naked Illusion yang diterbitkan pada 2024, kostum tersebut merupakan simbol kekecewaannya selepas gagal menerima pencalonan Oscar menerusi filem Mask.

“Saya tidak dicalonkan untuk filem yang ramai jangka akan memberi kemenangan kepada saya, jadi pakaian malam itu adalah satu bentuk ‘balas dendam’,” katanya.

Dalam temu bual bersama BBC pada 2010, Mackie menyifatkan Cher sebagai figura yang berbeza daripada selebriti lain pada zamannya.

“Semua orang terpesona dengannya kerana dia mampu mengenakan apa sahaja,” katanya.

Malah, Cher dilaporkan menjadi wanita pertama yang memperlihatkan pusat di televisyen Amerika Syarikat, dengan rekaan Mackie memainkan peranan penting dalam revolusi gaya tersebut.

Selain Cher, Mackie turut menghasilkan beberapa kostum paling dikenang milik Elton John, termasuk pakaian besbol Dodgers yang dihiasi permata berkilauan ketika persembahan penyanyi itu di Stadium Dodger, Los Angeles pada 1975.

“Setiap kali saya memakai sesuatu yang direka Bob, saya berasa sangat istimewa.

“Kostumnya adalah karya seni dan beliau akan dikenang sebagai antara pereka paling legenda dalam sejarah Hollywood,” kata Elton John menerusi Instagram.

Penyanyi Pink turut memberi penghormatan kepada Mackie dengan berkongsi beberapa kostum pentas yang direka khas untuk jelajah Funhouse pada 2009.

“Saya sangat bertuah dapat mengenakan hasil rekaannya selama bertahun-tahun. Beliau seorang yang penyayang, sangat lucu dan seorang genius,” katanya.

Walaupun sudah berada di penghujung usia, Mackie terus aktif berkarya. 

Antara rekaan terbarunya termasuk busana yang dipakai Sabrina Carpenter pada Anugerah Muzik Video MTV tahun lalu serta gaun Miley Cyrus ketika persembahan di Anugerah Grammy 2024.

Dilahirkan sebagai Robert Gordon Mackie di Monterey Park, California pada 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai pelukis lakaran bagi pereka kostum terkenal, Jean Louis.

Antara tugasan awalnya ialah menghasilkan lakaran gaun ikonik yang dipakai Marilyn Monroe ketika menyanyikan lagu Happy Birthday, Mr President kepada Presiden John F. Kennedy pada 1962.

Dalam kehidupan peribadi, Mackie pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Hollywood, Lulu Porter, pada 1960 sebelum berpisah tiga tahun kemudian. 

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Robin, yang meninggal dunia pada usia awal 30-an.

Mackie kemudian menjalin hubungan bersama pereka fesyen kelahiran Iran, Ray Aghayan, dari 1963 sehingga kematian Aghayan pada 2011.

Dalam wawancara bersama The Guardian pada 2018, Mackie secara berseloroh menyifatkan dirinya sebagai “pereka tertua yang masih hidup di Hollywood.”

Apabila ditanya sama ada beliau bercadang untuk bersara, jawapannya ringkas: “Saya harap tidak.” - Agensi

Must Watch Video

Advertisement