40 mural menarik papar sejarah, warisan Kuala Kangsar

Aida Aziz
Januari 27, 2024 00:45 MYT
Pengunjung berpeluang bergambar kenangan dan melihat sendiri maklumat yang disediakan bagi pencerahan berkaitan setiap mural di Kuala Kangsar ini, yang juga menceriakan landskap Bandar Diraja. - Foto Astro AWANI
KUALA KANGSAR: Hampir 40 mural yang memaparkan lokasi bersejarah dan warisan di Bandar Diraja menghiasi dinding bangunan di Memory Lane Kuala Kangsar.
Lokasi itu terletak di kawasan Lembah dan berdekatan jeti Sungai Perak.
Terkenal dengan sejarah tersendiri, inisiatif terbaharu Majlis Daerah Kuala Kangsar (MPKK) itu dilihat dapat menceriakan suasana, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung.
Difahamkan, projek mural itu dilaksanakan tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Disember.
Antara mural yang ada di sini termasuk Jambatan Victoria, Menara Jam Kuala Kangsar, seni tekat, pokok getah tertua, Jambatan Sultan Abdul Jalil, Sayong dan pandai besi (pertukangan keris).
Terdapat juga Jambatan Iskandar, monumen keris, Masjid Ihsaniah Iskandariah, Pavilion Kuala Kangsar serta Taman Pesisiran Kuala Kangsar.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, tarikan terbaharu itu bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2024.
"Lorong seni ini mempunyai hampir kira-kira 40 mural dengan panel bermaklumat yang memaparkan sejarah, warisan, budaya dan makanan setempat.
"Pengunjung berpeluang untuk bergambar kenangan dan melihat sendiri maklumat yang disediakan bagi pencerahan berkaitan setiap mural, ia juga menceriakan landskap Bandar Diraja.
"Saya percaya mural itu mampu menarik pelancong dan memberi pengetahuan umum mengenai pelancongan di Kuala Kangsar.
"Harapan saya, Memory Lane ini dapat diberikan nilai tambah dengan pengisian aktiviti bulanan berbentuk kebudayaan dan kesenian ataupun tidak keterlaluan pasar karat seperti beberapa lokasi lain di Malaysia," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Perak menyasarkan kemasukan lapan juta pelancong domestik ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata, angka tersebut optimis untuk dicapai selaras dengan proses pemulihan selepas pandemik COVID-19 dengan program menarik yang ditawarkan di lokasi pelancongan negeri ini.
#Mural #Kuala Kangsar #pelancongan #Warisan Perak