LIFESTYLE
#A4Waist: Netizen selar trend pinggang selebar kertas A4
Bagi membuktikan mereka berjaya dalam cabaran ini, keseluruhan pinggang mestilah terlindung di belakang kertas - Foto Twitter
SOALAN: Selebar manakah pinggang anda?
Mungkin anda tidak dapat memberi anggaran yang tepat jika tidak mengguna pita pengukur.
Namun, satu trend yang bermula di China kini merebak di media sosial seluruh dunia menggunakan hashtag #A4Waist untuk menunjukkan saiz pinggang yang kecil sehingga mampu ditutup hanya dengan sehelai kertas A4.
Bagi membuktikan mereka ‘berjaya’ dalam cabaran ini, keseluruhan pinggang mestilah terlindung di belakang kertas.
Ini bermakna lebar pinggang mereka haruslah kurang berbanding lebar kertas A4 iaitu lebih kurang 21 sentimeter.
“Jangan sakiti diri kamu”
Trend ini bagaimanapun diselar netizen yang rata-rata menyifatkan kecantikan wanita terpulang pada dirinya sendiri dan tidak memerlukan sebarang ukuran.
Netizen turut menghantar mesej sinis melalui gambar yang dikongsi di media sosial untuk menentang mesej yang dibawa oleh kempen #A4Waist.