Ada selera nak beristeri dua? Jadilah seperti Manop

Astro Awani
Februari 26, 2018 10:32 MYT
Manop bahagia bersama dua isterinya Warissara dan Nattaya - Gambar Facebook / Warissara Poksrichan
RAMAI yang pasang angan-angan nak berpoligami tapi ramai juga yang takut nasib menjadi macam Jamil dalam filem lakonan P. Ramlee, Madu Tiga.
Kalau tidak cukup ilmu di dada dan tidak merasa mampu hendak berlaku adil baik lupakan sahaja hasrat itu. Tapi kalau masih berselera, jadilah seperti Manop.
Manop Nuttayothin bukanlah kaya sangat. Paras rupa pun biasa-biasa sahaja. Apa yang menjadikannya luar biasa dia ada dua isteri yang setia, kedua-duanya cantik bak kata orang kita ‘bergetah’.
Memetik laporan Coconuts Bangkok kisah Manop mula tular di Thailand selepas foto romantisnya bersama dua isteri dimuat naik di laman sosial oleh salah seorang isterinya Warissara Pokrischan.
Wanita berusia 32 tahun itu turut memuji suami kesayangannya itu.
“Semua orang menunjuk-nunjuk suami mereka di Facebook. Lihatlah suami saya ada dua isteri,” kongsi Warissara dengan penuh bangga.
Seorang lagi isteri Manop baru berusia 26 tahun. Nattaya Tongpan namanya. Manop bertemu wanita ini sepuluh tahun selepas dia mengahwini Warissara.
Menurut Manop dia sebenarnya ada tiga isteri. Isteri pertamanya bagaimanapun telah meninggal dunia. Anak pula ada sembilan kesemuanya masing-masing tiga orang daripada setiap isteri.
Kisah Manop turut dapat perhatian media negara Gajah Putih itu malah dia bersama dua isterinya itu telah dijemput sebagai tetamu satu program televisyen
Nak tahu apa rahsia Manop? Katanya kena adil dan layan isteri sama rata. Kalau rasa terlebih layan yang seorang lagi kena cepat-cepat betulkan keadaan.
Manop yang bekerja sebagai penjual alat ganti kereta bagi acara perlumbaan turut berkongsi satu lagi rahsia. Jangan lupa bagi nafkah.
Menariknya kedua-dua isteri Manop memang sayangkan suami mereka malah sekali-sekala membantu Manop di tempat kerja . Murah rezeki Manop...
#anak #Bangkok #cantik #Facebook #filem #kahwin #kereta #laman sosial #Manop #meninggal dunia #nafkah #P Ramlee #poligami #Thailand #wanita