Ada yang berminat? Universiti di Jepun wujudkan fakulti anime dan manga

Madiha Abdullah
November 29, 2020 03:30 MYT
Pelajar akan mempelajari teori dan praktikal yang diperlukan dalam tempoh 600 jam pengajian, dari pencipta anime dan manga terkemuka. - Rodrigo Reyes Marin/ZUMA Wire/dpa via Bernama
ADAKAH anda memasang impian untuk menjadi sebahagian daripada produksi penerbitan anime atau manga?
Sebuah universiti swasta di Jepun boleh menjadikan impian anda satu realiti apabila mewujudkan Fakulti Anime dan Manga, yang baru sahaja diluluskan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun.
Universiti tersebut, Universiti Profesional Kaishi di Niigata akan merasmikan fakulti terbaharu itu pada April 2021, dengan kapasiti 80 pelajar.
Pelajar akan mempelajari teori dan praktikal yang diperlukan dalam tempoh 600 jam pengajian, dari pencipta anime dan manga terkemuka.
Pelajar akan belajar secara langsung dari animator, pengarah, dan artis manga profesional.
Antara prospek kerjaya yang boleh diceburi graduan adalah pengarah animasi, artis manga, perancang watak, ilustrator, dan pencipta permainan, dan penyelidik animasi.
Permohonan boleh dibuat bermula 1 Disember 2020, dan ujian kemasukan pertama akan diadakan pada 19 Disember 2020.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#anime #manga #Jepun #pendidikan #pelajar #Universiti Profesional Kaishi #shm #weekender