SYARIKAT penerbangan tambang murah AirAsia meraikan pencapaian mengumpul dua juta pengikut atau followers di Twitter dengan memaparkan video menampilkan warga kerja syarikat tersebut membaca tweet yang telah dikirim oleh para penumpang.

Paling istimewa, Ketua Pegawai Eksekutif Aireen Omar turut membuat penampilan sebagai ‘pembaca tweet’ dalam video yang dikongsi di laman Facebook dan YouTube rasmi AirAsia.

Video berdurasi hampir enam minit itu turut dibarisi tenaga kerja pelbagai lapangan termasuklah atendan penerbangan, juruterbang, petugas teknikal dan sebagai.

Kebanyakan tweet yang dibaca berkisar mengenai pengalaman para penumpang yang berpuas hati dengan penerbangan dan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat tersebut.

Dengan dua juta followers, AirAsia merupakan syarikat penerbangan tempatan yang paling popular di Twitter berbanding Malaysia Airlines dengan 994 ribu followers, Firefly (603 ribu), Malindo Air (19 ribu), dan Rayani Air (3 ribu).