ALPS, pusat rawatan kanser Sabah bakal jalin kerjasama strategik teknologi mRNA

Astro Awani
Ogos 12, 2022 05:02 MYT
Tham (kiri) menerima kunjungan Tun Juhar yang mengadakan lawatan rasmi ke ALPS Medical Centre di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto ALPS
KUALA LUMPUR: ALPS Medical Centre (ALPS) bakal bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menyediakan perkhidmatan rawatan penyakit kronik, terutamanya kanser, untuk komuniti negeri itu.
Pengasas ALPS, Prof Datuk Sri Dr SK Tham berkata, pihaknya menawarkan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan merupakan satu-satunya pusat perubatan yang dilengkapi dengan teknologi perubatan terkini genetic screening (mRNA).
“Sebagai penyedia perkhidmatan lengkap bagi teknologi mRNA, ia dapat memberikan perkhidmatan teknologi pencegahan (preventing) dan ketepatan (precision) terhadap lebih 30 penyakit kronik termasuk kanser.
“Oleh itu, ALPS bakal menjalinkan kerjasama strategik bagi membantu Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kanser Sabah kerana melihat akan kekurangan kaedah rawatan penyakit kanser di negeri itu,” kata Tham dalam satu kenyataan.
Ia susulan lawatan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin ke ALPS, di sini, baru-baru ini, bagi melihat tawaran perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang ditawarkan pusat perubatan itu.
Jelas Tham, lawatan rasmi itu membolehkan kerjasama strategik antara ALPS dan Sabah, terutama dalam menjalankan penyelidikan terhadap penyakit kronik, termasuk kanser.
Tambahnya, ALPS mempunyai teknologi termaju dengan kepakaran diperlukan, bahkan menjadi salah satu Makmal Diagnostik Ketepatan Biomarker yang progresif dengan kelengkapan instrumen Whole Genome Sequencing Provider dan penanaman sel stem CGMP di rantau ASEAN.
ALPS turut memberi tumpuan perniagaan terhadap sel molekul sebagai entiti terapeutik.
#mRNA #ALPS Medical Centre #kerjasama strategik #kerajaan negeri Sabah