PERNAHKAH kita mengalami perasan jantung tiba-tiba berdebar tanpa sebab? Padahal kita sedang duduk beristirehat sahaja.

Jika perkara itu terjadi buat sementara, ianya mungkin tidak merbahayakan. Tetapi jika berlaku untuk tempoh yang lama, segeralah berjumpa dengan doktor.

Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, terdapat pelbagai puncanya. Terdapat satu keadaan yang dikenali sebagai aritmia berlaku apabila terlalu banyak minum kopi atau diserang panik (panic attack). Ia bukanlah tanda sesuatu yang serius.

Terdapat 4 lagi keadaan di mana masalah ini berbahaya.

1. Jantung berdebar disebabkan penyakit sumbatan saluran darah arteri koronari pada jantung.

Peningkatan tahap kolesterol dan kalsium boleh membentuk plak pada saluran darah dan menghalang pengaliran darah ke jantung. Ini menyebabkan jantung tidak berfungsi dengan baik dan menyebabkan jantung berdebar tanpa sebab.

2. Aritmia selepas pembedahan jantung

Pembedahan jantung boleh mengubah cara jantung kita berfungsi termasuklah cara ia berdegup. Ia meningkatkan risiko aritmia jantung.

3. Perubahan pada otot jantung. Jika kita pernah mengalami serangan sakit jantung, otot jantung akan mempunyai tisu parut yang akan menyebabkan jantung berdegup secara tidak normal.

4. Aritmia jantung disebabkan ketidakseimbangan mineral.Jantung memerlukan mineral yang mencukupi dan seimbang. Sodium, magnesium dan potasium merupakan antara contoh elektrolit yang penting untuk jantung. Jika kita mempunyai terlalu banyak atau terlalu sedikit mineral, jantung kita berdegup secara tidak sekata.

Tanda degupan jantung laju dan berbahaya apabila kita mengalami bersama rasa pening kepala, pengsan, sesak nafas dan sakit pada kawasan dada.

Simptom ini mungkin merupakan tanda kita mengalami serangan sakit jantung. Dapatkan khidmat doktor secepat mungkin. - Keluarga