Anda 18 tahun? Anda mungkin pengidap hipertensi!

T K Letchumy Tamboo
April 2, 2013 23:41 MYT
Jika anda berumur 18 dan ke atas, anda berkecenderungan mengidap penyakit tekanan darah tinggi.
Perkara ini mungkin mengejutkan ramai orang kerana seringkali penyakit yang juga digelar hipertensi ini, dikaitkan dengan orang yang sudah lanjut usianya.
Ditambah pula dengan statistik yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan baru-baru ini bahawa satu daripada tiga warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas dipercayai mempunyai hipertensi, memang agak janggal sekiranya penyakit itu hanya dikaitkan dengan orang tua.
Pakar pemakanan kanan Sime Darby Healthcare Nurul Aziah Musa berkata pada mulanya kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini adalah mereka yang beusia lebih 35 tahun.
Namun, Nurul Aziah berkata penyakit itu kini juga menyerang orang muda kerana cara hidup mereka yang tidak sihat.
“Menurut statistik National Health Mobility Survey (NHMS) yang dijalankan setiap lima tahun, 32.47 peratus warga Malaysia yang berumur lebih 18 tahun dipercayai mempunyai penyakit itu.
“Sekiranya anda didapati mempunyai hipertensi, jangan ambil mudah perkara itu kerana ia boleh membawa kepada komplikasi lain seperti sakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang,” ujar beliau.
Malangnya, Nurul Aziah berkata hipertensi merupakan ‘pembunuh yang senyap’.
“Ramai orang tidak mengalami sebarang tanda menghidapi hipertensi. Untuk segelintir orang, tanda-tanda hipertensi adalah sakit kepala, pitam, penglihatan kurang jelas, sakit dada dan jantung berdegup pantas.
“Untuk memastikan bahawa anda tidak menghidapi penyakit tersebut, pergi ke klinik atau hospital terdekat untuk ujian tekanan darah. Malah kalaupun anda tidak mengidap penyakit ini, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan berkala untuk memantau tahap tekanan darah anda.
“Secara alternatif, seseorang itu boleh membeli mesin tekanan darah mudah alih untuk pemeriksaan mudah di rumah, "katanya.
Nurul Aziah berkata antara lima faktor yang boleh diubah suai untuk mencegah hipertensi adalah dengan mengurangkan pengambilan garam.
"Pengambilan garam yang disarankan untuk rakyat Malaysia mengikut Panduan Pemakanan Malaysia 2010 adalah lima gram atau kurang daripada 2,000 mg garam. Itu adalah kurang daripada satu sudu teh garam sehari! ".
#garam #hipertensi #Nurul Aziah Musa #orang tua