GAYA HIDUP
Anna Wintour undur diri sebagai Ketua Pengarang Vogue Amerika
Sepanjang menerajui Vogue, Wintour berjaya mentransformasi majalah itu daripada sebuah penerbitan yang semakin pudar pengaruhnya kepada kuasa besar industri fesyen. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Selepas hampir empat dekad menerajui majalah fesyen berprestij, Vogue Amerika, Anna Wintour mengumumkan pengunduran dirinya sebagai ketua pengarang, menurut pengesahan penerbitnya, Condé Nast kepada CNN.
Pengumuman itu dibuat Wintour kepada kakitangan pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau tidak meninggalkan Condé Nast sepenuhnya, sebaliknya akan mengurangkan tanggungjawanya dalam organisasi tersebut.
Wintour akan terus berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kandungan Global Condé Nast serta Pengarah Editorial Global Vogue.
Jawatan yang bakal menggantikan Wintour sebagai peneraju Vogue Amerika akan dikenali sebagai Ketua Kandungan Editorial (Head of Editorial Content).
Sepanjang menerajui Vogue, Wintour berjaya mentransformasi majalah itu daripada sebuah penerbitan yang semakin pudar pengaruhnya kepada kuasa besar industri fesyen yang mampu mencorak atau menguburkan nama-nama pereka serta arus gaya.
Beliau juga dikenali kerana sering mencabar norma. Isu pertama di bawah kepimpinannya pada November 1988 menampilkan model Israel, Michaela Bercu, yang menggayakan seluar jean ‘stonewashed’ - kali pertama jeans muncul di muka depan Vogue.
Langkah berani itu menjadi penanda kepada pendekatan editorial yang lebih segar dan terbuka.
Gaya potret studio yang dikawal rapi diganti dengan foto luar yang santai dan semula jadi.
Pada 1992, Wintour memecah tradisi 100 tahun apabila menampilkan lelaki di muka depan majalah - pelakon Richard Gere bersama isterinya ketika itu, Cindy Crawford.
Walaupun Wintour sinonim dengan Vogue, sejak 2020 beliau turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kandungan Condé Nast, bertanggungjawab ke atas semua jenama global di bawah kumpulan itu termasuk Vanity Fair, Wired, GQ, Architectural Digest, Bon Appétit dan Condé Nast Traveler.
Pengunduran ini bukan satu pengumuman persaraan, sebaliknya sebahagian daripada proses penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh.
Namun, perubahan ini tetap dianggap satu detik bersejarah buat Vogue Amerika dan membuka peluang baharu kepada calon-calon berkaliber untuk menerajui antara penerbitan paling berpengaruh dalam dunia fesyen.
Dua tahun lalu, Chioma Nnadi mencipta sejarah apabila dilantik sebagai wanita kulit hitam pertama mengetuai Vogue British, menggantikan Edward Enninful yang juga merupakan ketua pengarang kulit hitam pertama bagi edisi tersebut. - Agensi