Anugerah Sabahan Pilihan ERA hargai jasa warga Sabah

Astro Awani
Ogos 27, 2021 11:37 MYT
Semua pihak dijemput untuk membuang undi dalam pemilihan juara setiap kategori dari 6 hingga 12 September 2021. - Ihsan ERA Sabah.
KUALA LUMPUR: ERA Sabah buat julung kalinya menganjurkan ‘Anugerah Sabahan Pilihan ERA’ yang memberi peluang kepada semua peminat ERA Sabah untuk mencalonkan individu yang dikenali dan menabur jasa dalam membantu golongan terjejas sepanjang tempoh pandemik ini.
Dalam satu kenyataan, pencalonan boleh dibuat bermula sekarang hingga 5 September di laman rasmi era.je dan di aplikasi SYOK.
"Pencalonan ‘Anugerah Sabahan Pilihan ERA’ boleh dibuat untuk tiga kategori iaitu Sabahan Pemurah Pilihan ERA: Individu yang membantu dari segi bekalan makanan mahupun wang tunai kepada golongan yang terjejas; Sabahan Prihatin Pilihan ERA: Individu yang memberi bantuan fizikal dan sokongan rohani termasuk sukarelawan di pusat-pusat pemberian vaksin, sukarelawan bencana
alam atau sebagai tenaga pengajar.
"Bagi kategori ketiga melibatkan Influencer Sabahan ERA: individu yang memberi hiburan kepada rakyat Sabah menerusi dengan pelbagai pendekatan seperti lakonan, nyanyian, dan pelbagai lagi di platform media sosial," katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, semua pihak dijemput untuk membuang undi dalam pemilihan juara setiap kategori dari 6 hingga 12 September 2021.
Katanya, juara setiap kategori akan diumumkan pada pukul 10 pagi, 16 September sempena sambutan Hari Malaysia menerusi Facebook Live ERA Sabah.
"Semua pemenang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, sebuah trofi berserta sijil penghargaan. Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi era.je atau ikuti ERA Sabah di laman-laman media sosial," katanya.
#ERA Sabah #Anugerah Sabahan Pilihan ERA #COVID-19 #Sabah