TAHUN 2020 dinanti dengan penuh keterujaan namun apabila ia tiba, pada awalnya nampak baik-baik belaka namun kemudiannya, ia tidaklah seindah disangka.

Macam-macam perkara berlaku di dunia dan Malaysia, yang paling dahsyat sudah tentu pandemik COVID-19 yang menjejaskan seluruh dunia - manusia, ekonomi, semua terkena tempiasnya.

Hakikatnya, tahun 2020 mengajar kita pelbagai perkara yang harus menjadi pedoman untuk dibawa ke tahun-tahun mendatang.

Memasuki tahun 2021, ada beberapa pengajaran yang boleh kita dapat selepas melalui tahun yang pernah ranjau, yang baru saja tamat beberapa hari lepas.

Mungkin anda juga ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama.

Kesihatan amat berharga

Rasanya, tiada siapa dapat menafikan hakikat ini.

Meskipun mungkin ada yang menafikan namun COVID-19 banyak mengubah persepsi orang terhadap kehidupan dan kesihatan khususnya.

Tahap kesedaran berkaitan kesihatan juga semakin meningkat dan semakin ramai mula peka dengan kesihatan masing-masing kerana virus boleh menyerang pada bila-bila masa, datang tanpa sebarang amaran.

COVID-19 ternyata mengubah hidup ramai orang, bukan di Malaysia sahaja malah di seluruh dunia.

Hidup ini rapuh, tiada yang kekal

Kita mendengar banyak keluhan para peniaga, dari golongan penjaja jalanan, pekerja makan gaji, hinggalah kepada keluhan usahawan syarikat mega yang tidak dapat lari daripada hakikat bahawa kedatangan pandemik ini mengubah graf kewangan serta pendapatan mereka.

Ada peniaga yang terpaksa gulung tikar, ada pekerja yang diberhentikan kerja, ada yang dikejar hutang, ada yang menanggung kerugian beribu-ribu malah berjuta ringgit.

Kita belajar bahawa dalam dunia ini, tiada yang kekal milik kita. Hidup sentisa menjanjikan cabaran dan jika tersungkur, usaha untuk bangkit kembali memulakan sesuatu yang baharu itu memerlukan lebih daripada sekadar semangat.

Antara mereka yang masih bertahan, adalah kerana azam dan sokongan orang terdekat.

Dari sudut kesihatan, anda mungkin rasa tubuh anda semuanya baik-baik saja hari ini. Boleh beraktiviti dan bersukan, serta berjalan ke sana-sini tanpa sebarang masalah. Tapi entah siapa tahu, pada bila-bila masa saja kita boleh jatuh sakit dan terlantar, atau mungkin juga bertarung nyawa.

Sudahkah kita bersedia untuk terus menjaga diri sendiri dan keluarga? Jaminan apakah yang kita berikan pada orang yang kita sayangi?


Disiplin

Biasanya perkataan ini kita banyak dengar ketika di sekolah, namun COVID-19 ternyata mengubah semuanya dan menariknya, rakyat Malaysia bolehlah dikatakan agak berdisiplin.

Ingat lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dulu?

Pada waktu itu, rakyat benar-benar berdisiplin, mengikut arahan kerajaan, duduk di rumah dan akhirnya kita berjaya menurunkan kes COVID-19.

Tentunya, disiplin sama diharapkan dapat diteruskan, bukan untuk rakyat biasa sahaja tetapi untuk semua - ahli politik pun, tiada yang terkecuali.

Ketika PKP, rakyat Malaysia tidak ramai keluar rumah, kebanyakannya berdisiplin, mengikut arahan KKM dan kerajaan.

Perlu menyimpan wang

Bukan mudah sebenarnya untuk menyimpan wang apatah lagi jika gaji kecil tapi mahu atau tidak mahu, simpanan perlu ada, penting ketika berhadapan situasi genting seperti yang berlaku pada awal tahun lepas.

Ramai yang hilang kerja, hilang punca pendapatan dan tiadanya wang simpanan menyukarkan lagi hidup mereka.

Mujur ada bantuan kerajaan, dapat jugalah menarik nafas lega namun apa yang lebih penting, kesedaran untuk menyimpan wang perlu ada, perlu ditanam semangatnya bermula tahun ini (bagi mereka yang masih belum ada simpanan).


Waktu kualiti bersama keluarga penting

Dulu mungkin sibuk kerja sampai kadangkala lupa keluarga, balik kerja pun sudah penat, jadi tak sempat melayan keletah anak.

Kalau layan pun, tidaklah bersungguh. Namun apabila arahan kerja dari rumah dikuatkuasakan, ramai orang kembali dekat dengan keluarga.

Pada masa itu, ramai berasakan waktu kualiti sebegitu sangatlah penting. Bak kata orang lama, nikmatilah masa bersama anak ketika mereka kecil kerana kelak kita tidak sedar pun masa berlalu pantas dan akhirnya mereka sudah dewasa.

Ramai ibu bapa yang selama ini sibuk di pejabat, sudah baru menyedari apa yang anak-anak mereka suka makan dan lakukan, baru mengetahui tahap pengetahuan anak, baru tahu bakat dan kekurangan anak, dan baru dapat menjalin perbualan keluarga yang selama ini dirindui anak-anak.


Pelbagaikan kemahiran

Ramai mengetahui perkara ini namun tak ramai cuba menambah kemahiran, mungkin kerana kekangan masa atau kewangan.

Begitupun, kesan pandemik menunjukkan bahawa seandainya kita ada pelbagai kemahiran, harapan untuk kita melepasi waktu sukar ini lebih cerah.

Meskipun tidak terbukti secara statistiknya namun tak salah jika anda pelbagaikan kemahiran anda kerana yang untungnya tetap anda.


Perlu berani mencuba

Media melaporkan pelbagai kisah individu diberhentikan kerja, kemudiannya melakukan pelbagai kerja lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ada yang berniaga, kerja lain bidang, semuanya dilakukan dan tidak mengejutkan apabila ada juga yang berjaya dalam bidang baru diceburi.

Kata kuncinya ialah: “Perlu berani mencuba, selagi tidak cuba, kita tidak tahu keputusannya.”


Politik tanpa arah akan merugikan

Aduhai, kalau menulis kisah politik negara, rasanya inilah yang paling banyak ditulis dalam tahun 2020.

Boleh dikatakan setiap bulan, pasti ada cerita baru tapi hakikatnya, rakyat sudah jemu, muak dengan politik tidak berkesudahan dan boleh dikatakan tiada hala tuju.

Baru sahaja reda, timbul pula isu baru dan tidak dinafikan, ramai menganggap politik yang tidak menentu sebegitu merugikan negara.

Ahli politik mungkin tidak begitu terasa kesannya tapi tidak pula bagi rakyat. Jelas sekali, rakyat begitu terasa.

Sepanjang tempoh dunia politik Malaysia masih dalam kecelaruan, sepanjang itu jugalah tiada tumpuan yang sistematik pada usaha pemulihan ekonomi, isu penjagaan kebajikan rakyat, isu pengurusan sokongan kesihatan, isu salah laku sosial, isu kelancaran bantuan pengurusan bencana, dan banyak lagi yang lebih utama.


Bersukan biarlah ikut peraturan

Ini antara isu yang hangat diperkatakan menjelang penghujung tahun.

Tidak perlulah dinamakan sukan apa namun rasanya semua tahu, bahkan ‘otai’ atau orang lama dalam sukan itu juga kecewa.

Selama ini tiada masalah, mereka mengikut peraturan namun kata mereka, muncul ‘orang baharu’, pelbagai masalah pula timbul.

Hakikatnya, bersukan itu bagus tapi ikutlah peraturan ditetapkan. Anda gembira, orang lain pun gembira.

Malaysia mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik yang boleh diteroka selepas ini.

Bercuti dalam negara pun seronok

Penutupan sempadan negara akibat COVID-19 membuatkan semua rakyat Malaysia tidak dapat keluar bercuti ke luar negara.

Maka, ramai memilih untuk bercuti dalam negara yang sebenarnya banyak lokasi menarik, setanding luar negara cuma berlum berpeluang diteroka sebelum ini.

Diharapkan selepas COVID-19 hilang, industri pelancongan negara kembali rancak selepas rugi teruk tahun lepas. Yang penting, ikut prosedur operasi standard (SOP) mencegah jangkitan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Tanpa saranan KKM pun, kita guna akal sendiri. Sudah tahu ancaman pandemik masih ada, kenapa lagi mahu bersesak-sesak di destinasi yang tidak mampu menampung kapasiti ramai, hingga sukar melakukan penjarakan fizikal.

Hindarilah situasi sebegitu, beralah, dan carilah lokasi lain.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!