SUNGAI PETANI: Mendengar namanya barangkali sangat pelik pada pendengaran sebahagian besar daripada kita.

Bahkan, percayalah, tentu juga ada yang tidak tergamak untuk menjamah dagingnya.

Namun, selera masyarakat hari ini sukar diramal dan kerana itu juadah ‘arnab kangkang’ yang dijual di Bazar Ramadan Taman Ria, di sini, mendapat perhatian pengunjung.

Juadah 'Arnab Kangkang' yang dijual di Bazar Ramadan Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.

Menurut penjualnya, Faizal Basri, 33, pada awal Ramadan lalu gerainya tidak ubah seperti kaunter pertanyaan kerana setiap pengunjung akan singgah untuk bertanya akan nama serta rasa arnab kangkang.

Bagaimanapun, selepas memasuki hari ke-10 berpuasa, juadah yang dijualnya mendapat permintaan luar biasa daripada orang ramai.

Sebetulnya, kata Faizal, idea mengusahakan jualan arnab kangkang tercetus secara kebetulan kerana dia sendiri penggemar daging arnab.

Asalnya juga, jelasnya, dia mahu menamakannya sebagai arnab panggang, namun, panggilan itu bertukar menjadi arnab kangkang kerana sebaik daging itu dipanggang, fizikalnya berubah.

“Apabila kita mula panggang (daging arnab) tiba-tiba dia kangkang, jadi kita tukar arnab kangkang,” katanya bercerita kepada Astro AWANI ketika ditemui di gerainya.

Faizal Basri

Melihat sambutan yang baik pada setiap hari jualan di gerai tersebut, bekas penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) jurusan fotografi ini sama sekali tidak terduga rezeki akan berpihak padanya.

Menurut Faizal, bermodalkan RM4,000 dia memulakan perniagaan itu bersama rakannya buat pertama kali di bazar Ramadan.

Kata Faizal, bekalan arnab ini diperoleh daripada pembekal di sekitar negeri di utara tanah air.

Bermula dengan hanya lima hingga 10 ekor sehari, perniagaan arnab kangkang itu meningkat menjadi 30 ekor sehari.

Bercerita proses menyiapkan juadah itu, jelas Faizal, untuk memanggang arnab mengambil masa antara satu hingga satu jam setengah bagi memastikan isi arnab itu masak dan memperoleh tekstur daging yang lembut serta sedap dimakan.

Faizal berkata, daging arnab menawarkan banyak manfaat antaranya tidak memiliki lemak dan mengandungi protein yang tinggi.

“Isinya lebih manis daripada isi ayam serta kenyal daripada ayam dan juga manis tetapi tiada bau, tidak hanyir dan tak ada rasa yang pelik. Ia memang makanan yang normal macam ayam biasa,” jelasnya mengenai kekeliruan daging arnab yang sering dikongsi pelanggan baharu dengannya.

Sementara itu, bagi rakan kongsinya, Dania Irdina Mat Said, 20, sebelum ini dia agak risau untuk memperkenalkan menu kegemarannya itu kepada orang ramai tetapi apabila melihat sambutan menggalakkan menyebabkan dia yakin makanan itu boleh diketengahkan.

Katanya, harga jualan arnab kangkang ini bergantung kepada saiz kecil dan besar iaitu antara RM35 hingga RM65 kerana pasaran daging kini meningkat.

Dania Irdina berkata, sepanjang lebih 15 hari berniaga, dia tidak ketinggalan mendapat pelbagai maklum balas daripada pelanggan termasuk komen positif dan negatif mengenai daging arnab.

“Ada yang (komen) positif, ada yang negatif… yang negatif itu mugkin dia orang tidak pernah makan daging arnab. Boleh dikatakan 80 peratus pelanggan kami tidak pernah makan arnab tetapi Alhamdulillah mereka nak nak cuba dan yang pernah mencuba itu pula Alhamdulillah datang ulang membeli,” ujarnya.

Dania Irdina yang masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan pengurusan pejabat berkata, pengalaman berniaga di bazar Ramadan memberi peluang kepadanya mempelajari asas selok-
belok perniagaan selain menambah pengalaman berurusan dengan pelanggan.

“Kelebihan berniaga saya dapat lebih banyak pengalaman dan mematangkan saya lagi dalam perniagaan. Saya juga bertemu ramai orang yang berkongsi idea. Selain berniaga daging arnab panggang ini, saya juga dapat buat duit sampingan,” sambungnya lagi.