MUSIM panas ini pasukan RareTV mengembara lagi ke sudut bumi yang baru 30 tahun dibuka kepada pelancongan. Negara bekas jajahan Soviet ini masih mempunyai pesona klasik bekas wilayah Kesatuan Soviet. Inilah, Kyrgyzstan yang berkongsi tarikh ulangtahun kemerdekaan yang sama dengan Malaysia iaitu pada 31 Ogos saban tahun.

Kami mendarat di Almaty Kazakhstan dan kemudian berkereta ke Bisgkek yang menjadi ibu kota negara Kyrgyzstan.

Panas, 42 darjah Celsius sangat tidak selesa dan menjuraikan peluh membasahkan pakaian. Namun kami tidak lama kami di Bishkek kerana memang tujuan kami ialah untuk ke tanah tinggi. Kyrgyzstan ini berdiri dengan 90% permukaan muka buminya ialah bergunung ganang, hanya di Bishkek sahaja tanahnya datar.

Perjalanan selesa hanya di jalan utama yang tersedia lebuh raya yang baik, selebihnya untuk mendaki ke tanah tinggi hanya jalan kerikil yang kurang selesa sahaja pilihan yang ada. Kami melalui Kalgyz Karagai sebuah laluan pergunungan yang tiada dalam paparan peta Google. Kami menyusuri lahan-lahan ragut yang dihuni ribuan lembu, biri-biri dan kuda-kuda.

Sesampainya ke puncak Kalgyz Karagai seolah-olah berlaku penyingkapan tirai perlahan-lahan sehingga terpampang lanskap agung di hadapan kami. Itulah tasik tanah tinggi yang jarang dihinggapi pelancong. Itulah Tasik Song Kul.



Sempat kami bergambar bersama bunga liar lupin ungu yang memenuhi permatang Kalgyz Karagai. Selepas puas, kami menuruni lembah ke pinggiran Tasik Song Kul yang majestik.

Kedatangan asukan RareTV ke lembah Song Kul ini disambut dengan jaluran pelangi yang sangat ajaib di horizon Tasik Song Kul. Indah, dekat seperti boleh dipegang. Tambahan lagi bila dilatari depannya oleh lembu-lembu dan kuda-kuda yang meragut di lahan hijau. Malangnya, tempat ini hanya dibuka antara bulan Mei hingga Oktober ketika musim panas.

Kami bermalam di dalam yut (khemah nomad) tanpa sebarang jaringan internet. Terputus terus hubungan dengan dunia luar, rasa sepi namun meriah dengan keajaiban alam di hadapan mata. Bunyi derap kaki kuda yang berkawanan menuju ke tebing tasik untuk minum di setiap pagi menjadi loceng semula jadi yang menggerakkan kami bangkit dari tidur.



Sekalipun musim panas di ibu kota boleh sampai ke suhu 42 darjah Celsius, namun di pingiran Song Kul, suhu dingin di siang hari sehingga 15 darjah Celsius. Pada waktu malam, pemanas kayu api di pasang di setiap yut berteman selimut tebal yang selesa bagi menghadapi suhu sehingga 0 darjah.

RareTV menghadapi masalah terbesar dalam sejarah apabila terlalu banyak rakaman di sini sehingga tidak tahu mana satu rakaman yang cantik, kerana semuanya sangat cantik belaka. Perkongsian ini juga menjadi lebih panjang kerana terlalu banyak untuk diceritakan pada paparan yang ringkas di segmen AWANI-RareTV ini.



Kami berkuda pada waktu pagi hari sehingga ke atas gunung dan berpiknik. Di sini, berkuda seperti berbasikal sahaja. Kuda juga sangat jinak sehinggakan orang yang kali pertama menaiki kuda juga terasa selamat dan selesa berkuda bersama sehingga ke puncak gunung.

Di pagi hari akhir, kami mencicip kopi panas dihangat oleh unggun kecil menghadap ke tasik Song Kul sebelum kami bergerak meninggalkan tempat ini. Perjalanan yang paling indah namun renyah dengan jalan gravel yang panjang. Namun, jangan risau kerana semua itu terbayar dengan pemandangan biasan syurga di pesisiran Tasik Song Kul, Kyrgyzstan.



* Artikel oleh Saiful Nang, RareTV.