KITA sebenarnya bercerita tentang Bíldudalur di Westfjord, Iceland walaupun tajuk ini menyatakan 'Laut Greenland'. Sebuah kampung nelayan kecil yang mewah dengan pemandangan canyon yang menjadi pagar di antara satu fjord dengan fjord yang lain.

Untuk menyusur perjalanan merentas fjord, laluannya sama ada melayani pemanduan di tebing fjord yang tinggi ataupun melalui terowong.

Perjalanan pagi ini bermula dari pekan nelayan Isafjodur di bahagian utara Westfjord. Selepas bersarapan di bakarin (bakeri) tempatan, kami memandu santai melalui jalan-jalan merentasi jejari fjord. Pemandangan sangat menakjubkan dengan aliran anak sungai yang banyak dan ratusan juraian air terjun yang tidak bernama di kiri kanan kami.

Sempat juga bila kehausan, hanya perlu isi semula botol minuman kami dengan air dari aliran sungai di tepi jalan. Memang segar dan sejuk. Tiada keraguan langsung tentang kebersihannya.



Selepas 3 jam perjalanan santai, kami tiba di kampung nelayan klasik bernama Bíldudalur. Sasaran kami sejak pagi adalah untuk memburu kawanan paus. Bukan untuk dipancing tetapi untuk melihat dan merakam video untuk saluran RareTV kami. Alhamdulillah cuaca berubah dari ribut dan hujan di pagi hari kepada cerah selepas kami selesai makan tengah hari di pekan Bíldudalur.

Kapal tidak turun ke Laut Greenland jika angin bertiup kencang seperti pagi tadi. Kami sudah pasrah kerana kapten telah nyatakan tidak belayar pada hari itu disebabkan cuaca kurang baik. Namun apabila cuaca bertukar cerah, kami tidak membuang masa dan terus mendapatkan kapten semula untuk pujuk beliau belayar juga hari ini.



Bot kami menyusur fjord sempit di Bíldudalur menuju arah Laut Greenland yang ganas bagi mencari kelibat mamalia terbesar itu.

Belum sampai ke bahagian Laut Greenland, Syibli sudah terjerit-jerit kerana telah mengesan dua ekor paus spesies humpback sedang berenang mengiringi bot kecil kami. Saya, Abang Fared dan Abang Osman semua menjerit seperti kesampukan. Mungkin ini satu keindahan yang kami semua tidak pernah saksikan.

Kami senang memilih untuk belayar dengan bot nelayan kecil sahaja berbanding kapal besar komersial yang biasa mampu memuatkan sampai 50 orang untuk melihat paus. Untungnya ialah, kami boleh merapati paus sehingga serapat kurang dari 5 meter dari bot kami.

Selepas 20 minit dan ribuan gigabyte video telah dirakam, kami ambil keputusan untuk tidak teruskan pelayaran sehingga ke bukaan fjord yang tinggal 30 minit lagi perjalanan untuk sampai di Laut Greenland. Tidak perlu lagi kerana paus telah kami temui.



Justeru, ketika itu kami punyai lebih masa untuk mencari lubuk ikan-ikan kod Atlantik. Sewaan bot kami hanya untuk 2 jam dengan yuran perkhidmatannya sebanyak ISK15,000 (RM500) untuk seorang. Kami masih banyak lagi masa berbaki. Ini masa terbaik untuk memancing selepas suria muncul kembali. 

Menakjubkan, seperti terlalu banyak ikan kod di bawah bot kami sehingga kail pancing kami yang belum sampai ke permukaan dasar laut telah disentap ikan kod. Kedalaman yang banyak ikan sekitar 25-35 meter sahaja. Ini ialah kedalaman habitat biasa ikan kod Atlantik ini.

Petang itu kami bahagia sekali. Tiga ekor ikan kami bawa pulang dengan saiz setiap satunya antara 2kg ke 7kg. Untuk kita orang Malaysia atau Singapura, pastikan bila ikan-ikan ini dinaikkan sahaja, beritahu kapten tidak perlu dipotong fillet ikan-ikan ini. Jika tidak, laju sahaja tangan kapten untuk menyiang dan tidak semena-mena anda akan lihat kapten membuang kepala dan bahagian tulang tengah dan hanya memberikan kita fillet sahaja.

Mana boleh begitu. Kita kan orang Malaysia, kita makan ikan yang masih ada kepala, ekor dan bahagian bawah perut ikan!



Apapun, itu ialah petang yang sangat bahagia pada kami berempat dalam trip Iceland Ringroad & Westfjord kami. Mana tidaknya, hari kami diakhiri dengan hidangan kari India ikan kod Atlantik. Fusion yang aneh seperti seorang Malbari berkahwin dengan gadis Amerika rasanya kari kepala ikan kod ini.

Banyak lagi cerita kami dalam perjalanan meneroka sedunia. Sampai jumpa lagi dalam cerita travel kami pada minggu hadapan. Jangan lupa juga, semua perjalanan travelog kami ini ada di Youtube saluran RareTV kami.

* Artikel oleh Saiful Nang, RareTV.