KALAU anda jenis yang suka menikmati alam semula jadi secara terperinci, lebih-lebih lagi gemar memfokuskan pandangan di satu-satu tempat yang anda kunjungi, memang banyak yang boleh dinikmati dengan mata kasar.

Dari sebesar-besar kejadian hinggalah kepada spesies hidupan yang kecil, setiap sesuatu adalah pengalaman atau ilmu baharu, lebih-lebih lagi jika subjeknya merupakan sesuatu yang jarang atau sukar ditemui.

Pokok, landskap, jenis tanah dan batuan, kepelbagaian mamalia, burung, ikan hinggalah kepada hidupan yang jauh lebih kecil boleh saja menarik perhatian.

Begitu juga dengan spesies istimewa ini, yang baru-baru ini sempat dirakamkan oleh seorang warga Kuala Lumpur yang sedang beriadah di Taman Rimba Kiara, dan dikongsikan di laman Facebooknya.

"Eh, binatang apa ni? Seramlah! Gelilah! Apakah ini...?"

Banyak persoalan akan muncul bagi mereka yang selama ini hanya kenal ulat beluncas, gonggok, lipan dan cacing tanah.

Inilah cacing 'kepala tukul', iaitu terjemahan langsung daripada istilah Inggerisnya, hammerhead worm.

Bertenang, ia bukan makhluk invasif di negara ini, sebaliknya sudah lama hidup dalam persekitaran iklim Malaysia ini, khususnya di hutan yang lembap.

Cacing 'kepala tukul' mempunyai banyak variasi dalam spesiesnya. - Foto: Facebook/David Isaacson

Nak tahu lebih lanjut? Berikut adalah antara fakta menarik tentang spesies cacing ini:

1) Cacing 'kepala tukul' atau nama saintifiknya Bipalium merupakan cacing leper yang bersifat pemangsa dan karnivor. Nama dan reputasinya diperoleh daripada bentuk kepalanya yang menyamai kepala tukul.

2) Di bahagian bawah tubuhnya mempunyai tekstur gegelang untuk membantunya bergerak dengan cepat, terutama ketika memburu mangsanya.

3) Cacing tanah yang tiada mekanisme pertahanan adalah mangsa 'kegemaran' bagi cacing 'kepala tukul'. Apabila cacing 'kepala tukul' mengesan jejak cacing tanah, ia akan mengejarnya, dan sejurus bergelut, cacing 'kepala tukul' akan menggunakan otot dan lendirnya yang mengandungi neurotoksin (iaitu tetrodotoksin) untuk mengalahkan mangsanya. 

4) Selain cacing tanah, ia juga makan lintah bulan, larva serangga dan juga spesiesnya sendiri. Apabila mangsanya sudah dilemahkan dengan toksinnya, cacing 'kepala tukul' akan mengeluarkan farinks dari tubuhnya untuk menyalut mangsa dengan enzim, seterusnya menghisap tisu tubuh mangsa yang 'dicairkan'. Sesudah selesai makan dan menghadam, mulutnya juga berfungsi memuntahkan semula najis.

5) Walaupun secara fitrahnya ia mempunyai toksin tersendiri dalam tubuh, cacing 'kepala tukul' tidak berbahaya kepada manusia mahupun haiwan peliharaan jika disentuh. Toksin yang dimilikinya hanya berkesan untuk membunuh mangsanya... misalnya, si cacing tanah yang malang itu!

Nampak lemah dan tidak berbahaya, tapi cacing 'kepala tukul' ini bersifat pemangsa dan kanibal. - Foto: Facebook/Ellen Reiff

6) Cacing ini berasal dari kawasan tropika dan subtropika namun kini banyak negara telah mengenal pasti kehadirannya lalu melabelkannya sebagai spesies invasif. Ia mudah 'berhijrah' atau dipindahkan secara tidak sengaja melepasi sempadan geografi menerusi penghantaran antarabangsa produk pokok atau tanah.

7) Berbeza mengikut spesiesnya, saiz cacing 'kepala tukul' adalah antara 5 hingga 8 sentimeter, namun ada spesies tertentu yang boleh mencapai ukuran panjang hingga 30 sentimeter. Warnanya juga berbeza mengikut jenis dan lokasi penemuannya, seperti warna tanah, kelabu, perang gelap, keemasan, kehijauan, ataupun berbelang-belang. Pada tahun 2017, seorang lelaki di Johor pernah berkongsi videonya tentang penemuan cacing ini yang sepanjang setengah meter!

8) Hendak membiak? Mudah saja! Cacing ini adalah jenis hermaphrodite, iaitu setiap individu memiliki kedua-dua testis dan ovari. Telur yang sudah disenyawakan akan menetas dalam tempoh kira-kira tiga minggu.

9) Tidak ada satupun spesies cacing 'kepala tukul' ini termasuk dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Oleh kerana habitatnya yang masih luas, tidak ada bukti langsung untuk menyatakan bahawa populasinya terancam.

10) Pada awalnya, para petani bimbang jika spesies ini merosakkan tanaman mereka, sedangkan ia tidak langsung tertarik pada tumbuhan. Namun, masalah yang timbul adalah jika jumlahnya terlalu banyak di sesuatu kawasan, spesies cacing tanah di situ yang akan berkurangan. Umum tahu bahawa cacing tanah amat bagus untuk kesuburan dan kegemburan tanah pertanian.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !