Pemilihan banglo dihiasi perabot mewah, dekorasi dalaman moden serta fasiliti lengkap menjadi pilihan pasangan yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan sekarang ini.

Malah penyewaan sesetengah banglo ini di bawah konsep homestay membantu mengurangkan kos penyewaan bilik hotel bagi anggota keluarga yang datang dari luar kawasan.

Bagi pereka grafik Mohamad Faiz Sazalli, 29, beliau memilih untuk menyewa banglo di Taman Tasik Titiwangsa di sini sebagai lokasi majlis perkahwinannya pada 2013.

Tiada kemudahan sesuai untuk mengadakan perkahwinan di tempatnya sendiri kerana beliau tinggal di pangsapuri.

"Saya amat berpuas hati kerana dapat mengadakan majlis di banglo itu kerana ia amat berbaloi daripada segi kos dan kemudahan serta ia berciri eksklusif. Saya menyewanya untuk tiga hari dua malam dengan kosnya sama dengan kos menyewa sesetengah dewan untuk sehari," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Malah kawasan yang luas di banglo itu menawarkan keselesaan kepada keluarga dan tetamunya untuk beramah mesra dan bersantai tanpa had waktu yang ditetapkan jika dibandingkan majlis diadakan di dewan atau hotel, katanya.


Banglo lengkap dengan pakej perkahwinan

Beliau berkata banglo yang disewanya itu menawarkan harga pakej berjumlah RM49,000 bagi 1,000 tetamu, iaitu termasuk makan dan minum serta khemah dan kerusi untuk tetamu.

Bagaimanapun, kos itu tidak termasuk sewa pelamin, pakaian dan dandanan pengantin.

Bagi pekerja swasta Khalidah Khalid, 27, beliau menyewa sebuah banglo di Pulau Meranti, Cyberjaya untuk mengadakan majlis bertemakan 'garden wedding'.

"Keluarga saya ramai dan saya tinggal di kuarters kerajaan dan ia menyukarkan saya untuk menjemput ramai tetamu...jadi saya putuskan untuk menyewa banglo bagi mengurangkan kos hotel bagi menempatkan saudara mara jauh," katanya yang berasal dari Sarawak.

Khalidah berkata segala kemudahan telah disediakan dengan kawasan yang luas serta penyewaan rumah selama 24 jam memudahkan saya untuk mengadakan majlis bagi kedua-dua pihak.

Pakej yang ditawarkan itu bernilai RM40,000 termasuk sewa khemah, meja, PA sistem, katering bagi 1,000 tetamu.


Banglo warisan

Bagi guru sekolah, S. Rajini, 30, yang berasal dari Pulau Pinang pula beliau menyewa sebuah banglo warisan dengan kadar sewa RM1,200 sehari dalam melangsungkan majlis perkahwinannya pada tahun 2014.

"Saya memilih banglo yang mempunyai nilai warisan ini bagi merasai keunikan dan kelainan. Ia meninggalkan memori indah seperti saya melangsungkan perkahwinan di rumah sendiri," katanya.

Beliau berkata penyewaan banglo itu sangat murah berbanding lokasi lain. Pesara Liew Jhi Haow juga menyewa banglo mewah yang terletak di Ampang pada 2015 bagi meraikan majlis perkahwinan anak perempuannya supaya majlis kelihatan lebih eksklusif.

Beliau berkata lokasi itu menawarkan suasana yang lebih tenang dan damai untuk para hadirin dan keluarganya.


Banglo tanpa pakej

Alun-Alun Resort Sdn Bhd yang mempunyai dua banglo di Genting Highlands, Pahang turut menyewa banglo untuk majlis perkahwinan walaupun syarikat itu tidak mengadakan pakej majlis perkahwinan.

Pengurusnya Norafizah Zahari berkata banglo dua tingkat itu menampilkan ciri-ciri Eropah daripada rekabentuk banglo dan hiasan dalaman hinggalah laman yang indah, disewa dengan harga bermula RM2,500 untuk satu malam.

"Kami tidak menyediakan pakej untuk majlis-majlis tertentu kerana kami ingin memberi kebebasan kepada pelanggan untuk mengadakan majlis mengikut bajet dan tema majlis," katanya.