Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
GAYA HIDUP

Bekas ratu cantik Malaysia Harveen Kaur cipta rekod kedua pendakian

Bernama 10/08/2025 | 09:00 MYT
Harveen Kaur berkata beliau tiba di Kem Induk Everest pada 16 Mei 2025, sebelum menawan Island Peak yang juga dikenali sebagai Imja Tse, pada 20 Mei.
KUALA LUMPUR: Mrs Malaysia World 2017 Datin Harveen Kaur sekali lagi mencatat nama dalam Malaysia Book of Records selepas kejayaannya melengkapkan dua pendakian berturut-turut ke Kem Induk Everest dan Island Peak dalam ekspedisi solo Himalaya.


Ringkasan AI
  • Datin Harveen Kaur menawan Kem Induk Everest pada 16 Mei dan Island Peak pada 20 Mei 2025, sekali gus mencatat rekod sebagai ratu cantik pertama melengkapkan dua pendakian berturut-turut di Himalaya.
  • Malaysia Book of Records mengiktiraf pencapaian tersebut pada 7 Ogos, menjadikannya rekod kedua selepas kejayaan menawan Gunung Kilimanjaro pada September 2023.
  • Harveen turut pernah menawan Mera Peak pada April 2024 dan kehilangan jari akibat luka beku, serta menyeru rakyat Malaysia untuk terus berusaha mengharumkan nama negara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.


Harveen Kaur berkata beliau tiba di Kem Induk Everest pada 16 Mei 2025, sebelum menawan Island Peak yang juga dikenali sebagai Imja Tse, pada 20 Mei.

Pada 7 Ogos lepas Malaysia Book of Records telah mengiktiraf beliau sebagai "ratu cantik pertama menawan Kem Induk Everest dan Island Peak secara berturut-turut".

Kem Induk Everest (5,364 meter) yang terletak di kawasan Khumbu, Nepal, merupakan pintu masuk utama bagi pendaki yang ingin menawan Gunung Everest, manakala Island Peak (6,189 meter) yang berdekatan dan terletak di Lembah Imja, merupakan antara puncak popular dalam kalangan pendaki.

Kejayaan itu merupakan rekod kedua dicatatkan oleh Harveen Kaur. Pada September 2023, beliau menjadi ratu cantik pertama menawan Gunung Kilimanjaro di Afrika setinggi 5,895 meter.

Aktiviti pendakian juga telah membawa Harveen Kaur ke Mera Peak (6,476 meter) di Nepal, yang ditawan pada 11 April 2024, namun ekspedisi tersebut telah menyebabkan beliau kehilangan jari tengah akibat luka beku

Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Harveen turut menggesa rakyat Malaysia terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa juga yang mereka lakukan sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.

-- BERNAMA



#bekas ratu cantik #harveen kaur #mbor #Everest