Masyarakat hendaklah bersikap lebih terbuka dan positif terhadap mana-mana individu yang mengalami gangguan mental, kata ahli akademik.

Dakwaan dan persepsi segelintir masyarakat yang menganggap pesakit mental tidak boleh bekerja sebenarnya adalah suatu stigma, yang perlu ditangani semua pihak.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semasa merasmikan Wisma Yayasan Kesihatan Mental Malaysia di ibu negara pada 15 Okt lepas berkata jumlah pesakit mental di negara ini meningkat sejak sepuluh tahun lalu.

Hilmi, yang menyatakan bahawa angka peratusannya adalah lebih tinggi berbanding pada 2006 iaitu lebih 11 peratus, bagaimanapun tidak mendedahkan angka terbaru memandangkan ia masih di peringkat kajian.

Selain meminta masyarakat agar memberi peluang kepada pesakit mental, Hilmi berharap keluarga dan orang terdekat tidak menyisihkan pesakit mental, sebaliknya memberi sokongan dan bantuan bagi mengelak penyakit yang dihadapi semakin parah.

Persoalannya ialah sejauh mana kesanggupan dan keyakinan masyarakat untuk memberi peluang kepada mereka yang pernah mengalami gangguan mental menyumbang dalam apa jua bidang?

MAMPU MENYUMBANG, INTERAKSI SOSIAL

Hakikatnya mereka mampu menjana pendapatan sendiri serta menyumbang kepada negara dengan syarat mereka terus menjalani rawatan berterusan dan pemantauan daripada pihak majikan dan sokongan kukuh anggota keluarga, kata pensyarah kanan dan Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

Perlu diingat bahawa keresahan dan kemurungan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan mental.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa keadaan itu sekali gus membawa kepada perubahan dalam sistem sosial kehidupan hariannya dengan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata masalah kesihatan mental boleh mengganggu kehidupan masyarakat jika individu berkenaan tidak mendapatkan rawatan segera.

"Ini kerana gangguan mental akan mempengaruhi produktiviti kerja dan kualiti kehidupan yang memberi kesan langsung kepada perasaan, sikap dan pemikiran yang menyebabkan gangguan emosi berlaku.

"Apabila seseorang itu berasa tertekan... hubungan antara keluarga dan masyarakat turut terjejas. Lebih membimbangkan adalah kegagalan mendapatkan rawatan segera boleh memberi kesan negatif kepada interaksi sosial dengan masyarakat," katanya kepada Bernama.

Dr Muhammad Muhsin, yang juga Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), menjelaskan bahawa mereka yang dikatakan mempunyai masalah gangguan mental boleh dikenal pasti melalui perubahan tingkah laku, emosi dan cara berkomunikasi.

MASYARAKAT TIDAK FAHAM

Turut menyokong kata-kata Dr Muhammad Muhsin ialah pensyarah kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sastera dan Sains Sosial dari universiti sama, Dr Haslina Muhamad.

Dr Haslina menegaskan bahawa golongan yang mengalami gangguan mental sering dianggap berbahaya sedangkan hakikatnya masyarakat tidak begitu memahami maksud dan keadaan sebenar gangguan mental.

Umumnya, kata beliau masyarakat beranggapan gangguan mental sebagai penyakit yang tidak boleh dirawat dan mereka yang mengidapnya dilabelkan sebagai ganas dan berbahaya.

Lebih memburukkan keadaan, kata beliau adalah sikap pihak media yang memperbesar-besarkan karakteristik negatif pesakit mental sehingga sedikit sebanyak menyumbang kepada penolakan dan penyisihan masyarakat terhadap mereka.

"Untuk membuang stigma ini, masyarakat harus dididik dan diberi pendedahan berkaitan penyakit mental. Masyarakat juga harus mendapatkan informasi yang tepat mengenai penyakit ini supaya mereka tidak menyisihkan golongan tersebut," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa gangguan mental terjadi disebabkan oleh interaksi antara faktor biologi dan persekitaran, faktor biologi seperti gangguan mental yang diwarisi manakala faktor persekitaran berpunca daripada masalah keluarga, kewangan atau tempat kerja.

"Masalah yang dihadapi akan menjadi punca kepada kemurungan dan apabila individu itu dalam keadaan tertekan, dia akan berputus asa dan akhirnya membawa kepada tindakan drastik seperti membunuh diri.

"Biasanya gangguan mental akan berlaku sebagai tindak balas tubuh terhadap stres yang dialami. Seterusnya, sama ada gangguan ini bersifat sementara atau berpanjangan bergantung kepada jenis gangguan mental yang dihadapi," jelas beliau.

TAMBAH PAKAR PSIKIATRI

Bagi membantu rakyat negara ini bebas daripada penyakit mental, Dr Muhammad Muhsin berkata penambahan tenaga pakar dalam bidang kaunseling, psikologi dan psikiatri amat diperlukan bagi menampung bilangan pesakit sedia ada.

Ketika ini terdapat lebih 300 pakar psikiatri di negara ini, akan tetapi Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 900 lagi pakar psikiatri bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap pesakit.

"Rawatan bagi pesakit mental tidak seperti dahulu di mana mereka ditempatkan di wad pesakit mental. Sebaliknya rawatan kini telah berubah di mana pesakit mental diberikan bantuan kaunseling serta ubat-ubatan. Dalam tempoh masa dua hingga tiga tahun mereka akan 'dikembalikan' kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Dr Haslina memberitahu bahawa terdapat beberapa cara yang boleh digunakan oleh pakar psikiatri untuk membantu pesakit mental.

"Contohnya, melalui terapi 'Cognitive Behaviour Therapy'(CBT), di mana ahli terapi akan cuba untuk menggantikan pemikiran negatif pesakit kepada positif," katanya.

Selain itu, kaedah rawatan 'Interpersonal Psychotheraphy dan 'Dialetical Behaviour Therapy' juga boleh dilakukan, bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi pesakit.

"Ini kerana, terdapat sesetengah pakar menggunakan ubat-ubatan yang antaranya 'antidepression','antipsychotic' dan menggunakan kaedah menstabilkan 'mood' pesakit.

"Individu bermasalah harus sedar yang mereka bermasalah dan perlu mendapatkan pertolongan secepat mungkin, jika merasakan tidak dapat menanganinya sendiri," tegasnya.

Dr Haslina berkata masalah gangguan mental adalah individu berkenaan menyedari bahawa mereka bermasalah tetapi enggan mendapatkan rawatan disebabkan pandangan negatif masyarakat terhadap pesakit mental.

"Saya berharap sangat agar stigma dan pandangan sedemikian dibuang jauh supaya individu mengalami masalah mental tidak berasa malu untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," tambahnya.