DVUR KRALOVE: Dalam norma baharu, banyak aplikasi yang sebelum ini mungkin tidak begitu popular kini sudah digunakan jutaan orang.

Aplikasi Zoom, misalnya.

Berjuta orang di seluruh dunia menggunakan aplikasi itu selepas mereka digalakkan untuk bekerja dari rumah.

Mesyuarat, perbincangan, semuanya dilakukan di situ sehingga ramai yang kini mungkin sudah penat, tak mahu lagi menggunakan Zoom namun kerana kerja, semuanya dilakukan juga.

Ketika manusia telah bosan dengan interaksi melalui panggilan video sahaja atau pertunjukan secara penstriman, dua ekor chimpanzee di dua zoo berasingan Republik Czech sedang menikmatinya.

Selepas Safari Park Dvur Kralove dan  Zoo Brno ditutup sejak Disember lepas akibat pandemik COVID-19, pihak zoo telah memasang skrin besar bagi membolehkan chimpanzee di kedua-dua zoo ini berinteraksi sesama sendiri.

"Pada peringkat awal, chimpanzee di kedua-dua zoo berkenaan mahu menyerang chimpanzee yang terdapat di dalam skrin.

"Namun akhirnya chimpanzee ini dapat menerima apa yang ditayangkan di skrin berkenaan dan mengganggapnya sebagai hiburan," kata penjaga chimpanzee di Dvur Kralove, Gabriela Linhartova.

Panggilan video ini juga disiarkan di laman web zoo berkenaan setiap hari dari 8 pagi ke 4 petang sehingga hujung bulan Mac ini.

Menggunakan skrin gergasi, haiwan itu kini dapat menyaksikan kehidupan rakan-rakan mereka di sebuah lagi zoo di Brno, 150 kilometer jaraknya dari zoo berkenaan.

“Apabila mereka lihat situasi tegang, mereka akan bangun segera, sama seperti ketika kita menonton acara sukan secara langsung,” kata Gabriela.

Selepas ini, penjaga akan menilai sama ada ia harus diteruskan atau tidak dan jika diteruskan, haiwan itu pastinya akan seronok. 



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!