GAYA HIDUP

Budaya kerja positif resipi kejayaan sebuah perniagaan - Nor Arieni

Faida Rahim 12/12/2025 | 23:15 MYT
Nor Arieni (empat, kiri) mengakui cabaran akan sentiasa ada, daripada isu pekerja, pengubahsuaian, peningkatan permintaan hingga ke operasi harian. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kejayaan sesebuah perniagaan sering dikaitkan dengan produk atau strategi pemasaran namun, ada satu aspek yang jarang diberi perhatian iaitu bagaimana kebajikan pekerja dijaga dan budaya kerja dibentuk.

Pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal berkata, keutamaan sejak awal adalah memastikan setiap ahli pasukan rasa dihargai dan diberi ruang untuk berkembang.

"Prinsip saya mudah, apabila pekerja gembira dan yakin, mereka akan memberi layanan terbaik kepada pelanggan," katanya.

Nor Arieni berkata demikian sempena majlis makan malam tahunan anjuran Gula Cakery di sini pada Khamis.

Perjalanan Gula Cakery bermula dengan sebuah ketuhar di dapur rumah dan resepi turun-temurun. Kini, ia berkembang menjadi jenama yang dikenali ramai.

Namun di sebalik pencapaian itu, fokus utama tetap pada latihan dan pembangunan staf.

"Latihan bukan sekadar teknik atau prosedur operasi standard (SOP) tetapi peluang untuk membina keyakinan diri dan bakat.

"Nilai seperti rasa hormat, tanggungjawab, layanan mesra dan keinginan untuk belajar menjadi asas budaya kerja yang dikekalkan," katanya.

Namun begitu, Nor Arieni mengakui cabaran sentiasa ada daripada isu pekerja, pengubahsuaian, peningkatan permintaan hingga operasi harian.

"Ada pekerja yang dahulu malu nak pegang tanggungjawab, sekarang dah jadi ketua. Itu antara momen paling bermakna,” katanya.

Bagi Nor Arieni, menjaga kebajikan pekerja bukan sekadar tanggungjawab, tetapi resipi sebenar yang membawa suatu jenama ke tahap lebih tinggi.








#kebajikan pekerja #Gula Cakery #perniagaan #budaya kerja positif