KADANGKALA apabila membeli sesebuah kenderaan sudah pasti apa yang bermain dalam fikiran adalah ‘komitmen’ selama beberapa tahun untuk melangsaikan hutang, dan ini sudah pasti mendatangkan tekanan jika terdapat gangguan ketika membayar hutang.

Ditambah dengan kesan COVID-19 kepada ekonomi negara yang menjejaskan ramai pendapatan isi rumah sekaligus membawa kepada permasalahan, walaupun diberikan moratorium bagi mereka yang hilang pekerjaan dan gaji dikurang sudah pasti masih terbeban.

Ini membawa kepada dilema bagaimana mahu mengurangkan liabiliti sedia ada?

Sebenarnya terdapat beberapa kaedah untuk menjana pendapatan menggunakan motosikal milik anda sendiri yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban hutang pembayarannya yang anda tanggung selama ini.

YOUTUBER

Pertamanya, jadilah Youtuber yang mempunyai rancangan mengenai motosikal itu sendiri, anda boleh mulakan secara perlahan-lahan dengan motosikal anda sendiri. Sebenarnya dunia permotoran ini sangat meluas, dari sekecil-kecil ilmu mengenai motosikal sudah cukup membawa kepada keterujaan peminat di luar sana.

Anda boleh melakukan ulasan mengenai motosikal anda miliki, apakah modifikasi yang telah dilakukan, apakah kegunaan sesuatu peralatan atau komponen dalam motosikal, penggunaan minyak hitam mana yang cemerlang, ketahanan motosikal tersebut, konvoi motosikal yang pernah disertai dan banyak lagi.

Selain motosikal anda sendiri, menjadi Youtuber rancangan motosikal ini banyak topik boleh dibincangkan seperti, alat ganti terbaru dikeluarkan, model-model motosikal baharu, resipi menambah kelajuan motosikal, motoGP, WSBK, penggunaan tayar cemerlang dan pelbagai ulasan boleh dilakukan.

Menjadi Youtube mampu mejana pendapatan melalui penghasilan pelbagai kandungan mengenai motosikal.

Ceritakan dengan kaedah serta gaya yang paling menarik untuk memastikan kandungan yang dihasilkan itu boleh menarik minat penonton.

Anda boleh rujuk kepada nama-nama besar yang mempunyai rancangan sendiri di Youtube seperti, Whyzul, Bob Yp, Nasir Haris Motovlog, Din Soya dan ramai lagi.

Mereka menghasilkan pelbagai kandungan yang menarik mengenai dunia permotoran sehinggalah kepada menceritakan kehidupan harian mereka untuk disajikan kepada penonton.


PENGHANTAR MAKANAN/BARANGAN

Keduanya dengan menjadi penghantar makanan. Di negara tercinta ini, banyak syarikat yang menawarkan gaji lumayan berdasarkan usaha untuk memperoleh pendapatan sampingan.

Antaranya, Lalamove, Grabfood, Foodpanda malah kebanyakan perniagaan berasaskan makanan telah banyak menggaji penunggang motosikal untuk menghantar makanan kepada pelanggan mereka.

Menjadi penghantar makanan atau barangan juga mampu menjana pendapatan lumayan jika anda rajin! - Gambar GrabFood

Gunakan kesempatan ini untuk menambah duit kocek anda dan jangan terkejut jika rakan sekerja anda pernah bekerja dalam bidang yang dianggap besar kerana sekarang ini zaman COVID-19, maka ramailah yang menambah skil atau melakukan kerja sampingan.

Perlu diingatkan apabila menjadi seorang penghantar makanan, semakin rajin anda semakin tinggilah pendapatan yang diperolehi.


SEWAAN MOTOSIKAL

Perkara ketiga yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan melalui motosikal adalah dengan menyewakan motosikal anda.

Perkara ini boleh dilakukan melalui sewaan kepada syarikat-syarikat penyewa kenderaan sedia ada terutamanya di kawasan pelancongan.

Boleh juga dilakukan secara persendirian dengan mengiklankan perkhidmatan sewaan motosikal anda di laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Mudah.my untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan.

Anda boleh mempromosikan sewaan motosikal anda di pelbagai platform media sosial yang ada.

Dalam masa yang sama, jika anda seringkali mengikuti konvoi atau mempunyai ramai kawan daripada kumpulan-kumpulan motosikal, sudah pasti motosikal anda mahu dipandu uji oleh mereka jika mereka mahu membeli motosikal yang sama seperti anda.

Boleh sewakan selama beberapa hari untuk membolehkan mereka melakukan pandu uji dengan ini dapatlah sedikit wang yang boleh digunakan.

Tawarkanlah diskaun ataupun strategi pemasaran melalui pakej-pakej yang boleh ditawarkan kepada pelanggan.


TUKANG IRING KONVOI / MARSHAL

Yang keempat ialah menjadi tukang iring dalam konvoi motosikal. Malaysia mempunyai banyak kumpulan-kumpulan motosikal malah negara ini juga didatangi kumpulan motosikal daripada negara-negara lain.

Anda boleh iklankan perkhidmatan anda di media sosial untuk menjadi pengiring kepada kumpulan-kumpulan motosikal ini bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi yang mereka tuju tanpa perlu membuang masa salah jalan dan sebagainya.

Tawarkan diri menjadi tukang iring dalam konvoi-konvoi tidak kira motosikal atau kereta.

Mulakan dengan orang sekeliling yang anda kenali, kemudian iklankan melalui mulut ke mulut dan ia akan berkembang daripada situ apabila menerima kunjungan daripada kumpulan motosikal negeri lain.

Perlu diiingatkan supaya anda peka dan tahu keadaan jalan raya, jalan ke destinasi dan bersiap-sedia dalam pelbagai perkara sebagai pengiring.

Inilah dikatakan menyelam sambil minum air apabila dapat melakukan perkara yang anda suka disamping menjana pendapatan.


SERTAI PAMERAN MOTOSIKAL

Yang terakhir sekali ialah pertandingan pameran motosikal. Betul, menyertai pertandingan ini anda mungkin terpaksa mengeluarkan sedikit modal untuks melakukan beberapa perubahan dan modifikasi supaya motosikal anda cantik untuk menambat hati juri.

Walau bagaimanapun, hadiah yang ditawarkan dalam pertandingan pameran motosikal ini sememangnya lumayan dan berbaloi dengan usaha penat lelah anda untuk ‘make-up’ motosikal.

Sertai pertandingan peragaan motosikal cantik, tapi anda perlu mengeluarkan modal sedikit untuk meraih keuntungan dalam perkara ini.

Tidak perlu mencari pertandingan pameran motosikal yang besar atau berprestij, cukuplah yang hanya kecil-kecilan dan anda rasakan yakin boleh memenanginya atau sagu hati pun jadilah.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!