PETALING JAYA: Chef Annette Isaac atau lebih dikenali sebagai Chef Nette, menerbitkan buku masakan sulungnya bertajuk What To Cook Laaa…, yang telah dilancarkan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berbeza dengan buku masakan lain, buku masakan Chef Nette mengandungi resepi yang ringkas tetapi lazat.

Cita rasa masakannya dibentuk melalui pengembaraannya ke seluruh dunia yang digabungkan dengan bakatnya sebagai perumus resipi baharu dan penggaya makanan.

Mula meminati bidang masakan sejak di bangku sekolah, Chef Nette berharap kelahiran buku masakan itu akan menggalakkan lebih ramai menceburi dan mengembangkan minat dalam bidang masakan.

"Memasak adalah mudah dan saya ingin membina perasaan cinta terhadap memasak hidangan yang enak, sihat dan ringkas kepada orang ramai," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut, Khamis lalu.

Chef Nette juga percaya bahawa sebahagian besar daripada warisan turun temurun rakyat Malaysia ditanam dan diwarisi dari generasi ke generasi melalui masakan. Beliau berhasrat untuk melihat warisan masakan Malaysia yang unik dan pelbagai, dipelihara melalui penerbitan bukunya.

Buku What To Cook Laaa… diterbitkan oleh MPH Group Publishing dan boleh didapati di semua cawangan MPH.