GAYA HIDUP

Chef Wan saran kerajaan tubuh institusi warisan masakan Melayu

Dewi Nur Harasha Alias 07/12/2025 | 22:50 MYT
Ramli (tengah) ketika merasmikan Cafe Chef Wan cawangan pertama di Wilayah Utara, bertempat di Bertam Resort & Waterpark, Kepala Batas, Pulau Pinang, pada Ahad. -Gambar Facebook/TYT Pulau Pinang
KEPALA BATAS: Kerajaan disaran menubuhkan sebuah institusi yang menghimpunkan pakar masakan warisan Melayu dan masakan jalanan dari seluruh negara bagi membimbing generasi muda dalam bidang kulinari.

Cadangan itu disuarakan oleh tukang masak selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, bagi memastikan resipi turun-temurun tidak pupus dan terus diwarisi.

Menurut Chef Wan, kualiti makanan warisan yang dijual di jalanan ketika ini dilihat semakin merosot dan perkara itu perlu diberi perhatian serius.

“Memasak bukan sekadar masak sahaja, ia perlu disertai sajian berkualiti dan sedap, khususnya untuk masyarakat dan pelancong,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha ini penting untuk memperkukuh sektor pelancongan negara.

"Kalau kita mahu tingkatkan pelancongan, kita perlu ada sesuatu yang boleh dibanggakan. Bukan sekadar hotel dan servis, tetapi makanan jalanan juga mesti ditingkatkan.

"Kerajaan perlu main peranan. Malaysia ada ramai chef berbakat, tetapi mereka tidak kekal selamanya. Bila kami tiada, resipi ini akan hilang. Sebab itu saya buka restoran ini, supaya resipi daripada tok nenek kita dapat diwarisi,” katanya.

Sehubungan itu, Chef Wan berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pihak berkaitan dapat bekerjasama merealisasikan hasrat menghimpunkan chef berpengalaman dan mendokumentasikan resipi warisan.

“Saya belum nampak pihak yang datang dan kata, ‘kami berminat, mari duduk berbincang, bawa semua chef berbakat, kumpulkan resipi dan wujudkan sekolah untuk melatih mereka.’

"Ramai makcik buat kuih tidak turunkan resipi. Anak-anak sudah tidak minat. Bila mereka tiada, resipi pun hilang. Ini yang saya risau,” Chef Wan menyuarakan kebimbangannya.

Chef Wan berkata demikian selepas melancarkan Cafe Chef Wan cawangan pertama di Wilayah Utara, bertempat di Bertam Resort & Waterpark, di sini, pada Ahad.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Turut hadir, Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, Datuk Mohamed Iqbal S. Habeeb Noohu.

Pembukaan kafe yang menawarkan pelbagai sajian warisan termasuk resipi peninggalan ibu Chef Wan adalah langkah strategik untuk memartabatkan masakan Melayu, khususnya di utara tanah air.




#Chef Wan #institusi warisan masakan Melayu #pakar masakan warisan #Cafe Chef Wan