DIBERI gelaran “Virus Vanguard”, sekumpulan adiwira yang terdiri daripada lima watak komik yang diperkenalkan oleh kerajaan Singapura dalam usaha menyebarkan berita mengenai langkah 'pemutus litar' (Circuit Breaker) bagi memerangi wabak COVID-19 di republik tersebut.

Sejurus lima adiwira itu diperkenalkan pada Isnin kepada rakyat Singapura, mereka menjadi tular di laman media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Watak yang paling menular dan menjadi perbualan hangat ialah watak “MAWA Man” yang mengundang perasaan marah dalam kalangan penyokong Liverpool.

“MAWA Man” atau dikenali sebagai “Must Always Walk Alone” Man dikatakan mengambil motto Liverpool iaitu “You'll Never Walk Alone” sebagai rujukan.



Watak tersebut digambarkan sebagai penyokong Manchester United fanatik yang melaksanakan penjarakan sosial dengan kuasanya untuk menolak objek dan orang ramai.

Sebuah petisyen dalam talian di Change.org diwujudkan penyokong The Reds yang mendesak supaya MAWA Man digugurkan daripada quintet adiwira tersebut.

Setakat pagi Selasa, petisyen tersebut menerima lebih 500 tandatangan digital.

Menerusi satu muat naik menerusi laman Facebook, Gov.sg mengumumkan bahawa kempen “Virus Vanguard” kini ditarik balik bagi tujuan penilaian semula.




“Kami telah menerima banyak maklum balas mengenai watak-watak tersebut dan kami akan membuat penilaian semula. Kami meminta maaf seandainya kami menyinggung perasaan anda.

“Ini merupakan kali pertama kami menerokai format kandungan ini. Kesabaran anda amat dihargai.

“Jika anda mempunyai sebarang idea atau cadangan mengenai Virus Vanguara, sila berkongsi pendapat anda dengan kami,” kata Gov.sg pada muat naik di laman Facebook.

Dalam satu komen di laman Gov.sg juga, Pengasas Band of Doodlers Mas Shafreen yang mengaku dirinya sebagai pereka pasukan adiwira tersebut dan memohon maaf.

“Saya bersama kumpulan saya ingin mencipta watak adiwira yang menunjukkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kami, termasuk kakitangan kesihatan dan kami boleh memerangi ini bersama.

“Situasi semasa memberikan kesan kita semua dan saya sebagai seniman, saya menghargai peluang ini kerana ia susah untuk mendapatkan pekerjaan sekarang.

“Saya mohon maaf atas masalah yang timbul dan saya berharap seniman tempatan akan terus disokong menerusi projek kreatif,” kata Shafreen yang juga mengunakan nama pena Wanton Doodle.

“Virus Vanguard” dianggotai watak adiwira seperti “Circuit Breaker”, “Fake News Buster”, “Dr Disinfector”, “MAWA Man” dan “Care-Leh Dee”.

Tiada kepastian sama ada "MAWA Man" akan membuat kemunculan semula dengan wajah dan pakaian yang baharu bersama-sama rakan seperjuangannya.

Namun apa yang pasti adalah belum sempat memerangi wabak COVID-19 di Singapura, “Virus Vanguard” kini lenyap seketika daripada muka bumi.