GAYA HIDUP

Dari nota muzik ke pentas, setiap nada adalah tentang terapi dan disiplin

Hamzah Hamid 21/12/2025 | 13:22 MYT
Seramai 36 pelajar berjaya membuat persembahan sempena konsert yang berlangsung di TMIYC Iskandar Puteri pada Ahad. - Astro AWANI
ISKANDAR PUTERI: Apa guna belajar muzik? Keriangan seketika yang cepat dilupakan sejurus nada terakhir dibunyikan? Atau dianggap semata-mata hiburan tanpa makna?

Ternyata tidak sesempit itu matlamat dan perspektif bagi sekumpulan pelajar yang mengasah bakat muzik daripada The Studio Music Centre (The Studio), yang berpangkalan di Johor Bahru.

Bagi setiap daripada mereka, mengenal seni berkenaan membawa erti dan kesan yang lebih meluas.

Bertempat di sebuah dewan di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri, pada Ahad, para pelajar The Studio membuktikan hasil jaya pembelajaran mereka selama ini menerusi konsert hujung tahun bertemakan ‘A Fusion of Finesse and Fire’.

Penonton yang teruja menyaksikan persembahan menarik daripada para pelajar The Studio.


Sejumlah 36 pelajar dari lingkungan usia semuda 4 tahun hingga 35 tahun bangga dapat beraksi di hadapan khalayak bersama instrumen masing-masing — dari variasi alat muzik hingga vokal mereka sendiri.

Ekspresi muzikal mereka tampil lebih bertenaga apabila turut menerima sokongan padu ibu bapa, keluarga, dan teman seangkatan, serta motivasi daripada guru mereka.

Nurrizq Amani (kiri) bangga dapat membuat persembahan disaksikan ibunya.



Antara pembuka tirai persembahan ialah Nurrizq Amani Muhamad Zaikhan, 13, yang menghadiahkan penonton dengan gesekan biola lagu 'Stereotypes'.

“Melalui muzik, saya diajar tentang memberi tumpuan pada sesuatu perkara secara terperinci. Ia juga mengasah kemahiran sosial saya.

“Saya juga dapat bertenang dan menghindarkan diri dari masalah kesihatan mental. Kini, media sosial yang saya gunakan juga menjurus ke arah hal baik berkaitan muzik,” ujarnya yang memahami isu yang menghantui anak muda masa kini.

Ibunya, Bazura Abu Bakar, 41, berkata, muzik telah banyak membantu anaknya itu yang memiliki sejarah gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan (ADHD).

“Muzik ini bagai terapi untuk membuatkan anak saya senang menerima arahan. Kini anak saya lebih tenang, berdisiplin dan mudah memberikan kerjasama,” kongsinya bangga.

Priyanka Devi hadir ke konsert ditemani bapa kesayangan dan bapa saudaranya.



Dalam kalangan pelajar, konsert pada hari itu lebih daripada sekadar konsep pemahaman nota muzik, atau rasa yakin beraksi di depan penonton.

Priyanka Devi A/P Rajendran, 16, misalnya, menyifatkan muzik sebagai ‘penyelamat’ dalam perkembangan alam remajanya.

“Saya dahulunya seorang yang cepat marah dan bukan seorang yang tenang. Saya juga sebelum ini ada tabiat memikirkan sesuatu secara berlebihan. Apabila saya belajar muzik dan juga menyanyi, saya semakin dapat mengatasinya.

“Malah, tumpuan dalam sesi pembelajaran saya juga bertambah baik,” ujar pelajar Tingkatan Empat itu.

Gadis berperwatakan mesra itu menghiburkan penonton dengan persembahan piano lagu ‘Scarborough Fair’, yang dikatakan menjadi lagu kegemaran guru muziknya.

Gandingan abang dan adik dalam salah satu persembahan.



Bercakap tentang muzik yang membantu fokus dalam pelajaran, hal itu turut dipersetujui oleh Mohd Nuh Miskan, 45.

Dalam konsert pada petang Ahad itu, dua orang anaknya, Kholed Al-Waled, 16, dan Khalil Ar-Rifqi, 10, beraksi bergandingan. Si abang memetik gitar, manakala si adik yang mengetuk dram dalam lagu ‘Wake Me Up When September Ends’.

“Bakat dan minat si ‘Abang’ pada mulanya dikenal pasti guru sekolah yang menawarkannya menyertai band sekolah. Kemudian adiknya pula berminat pada muzik dan memilih untuk bermain dram,” kata Mohd Nuh, yang terbuka memberi pendedahan yang diinginkan anak-anaknya itu.

Perpindahan mereka sekeluarga dari Selangor ke Johor setahun yang lalu tidak memutuskan peluang anak-anaknya untuk terus mendapat bimbingan kelas muzik.

“Yang ‘Adik’ kami lihat sifatnya lebih cepat mempelajari setiap perkara baharu, manakala abangnya kini bermain muzik untuk mengalih perhatian selepas penat belajar. Namun, kelebihannya saya lihat dia dapat bermain muzik ‘by heart’ iaitu dia mendengar, kemudian dia akan dapat memainkannya semula,” ujarnya.

Esty Farah (tengah) bersama tenaga pengajar The Studio, (dari kiri) Akiff Muhammad, Nor Irfan Fitri, Nina Zahira dan Qahh Yusoff.



Menurut Pengarah The Studio, Esty Farah Musa, selain menyediakan platform untuk para pelajarnya beraksi, konsert itu membuka peluang kepada ibu bapa melihat usaha anak-anak mereka mencurahkan segalanya ke dalam persembahan.

“Dengan dapat menyaksikan anak-anak kelihatan berdebar-debar, teruja, naik ke pentas untuk membuat persembahan, semua itu adalah sebuah ‘pertunjukan’ yang menyeluruh - tentang minat dan kerja keras.

“Ini sebuah keraian terhadap semangat dalam setiap anak. Ini tentang pembentukan watak, keyakinan diri dan pengurusan emosi.

Esty Farah juga gembira apabila semua ibu bapa memberi sokongan kepada setiap anak yang mengambil bahagian.

“.. kerana itulah saya berpesan pada awal tadi, supaya semua memberikan sokongan kepada setiap anak, sebagaimana anda mahu anak anda diberi sokongan oleh orang lain,” jelasnya.

Seni muzik pada umumnya, boleh menjadi pelaburan alternatif bagi ibu bapa demi pertumbuhan anak-anak — dari aspek pembentukan disiplin, menajamkan fokus, meningkatkan kepercayaan diri, melatih interaksi sosial dan perkembangan skil interpersonal lain. Melaluinya juga, jaringan perkenalan sihat dan persahabatan dalam suasana yang muhibah, mudah tercipta.

Jika ditanya sekali lagi: ‘apa guna belajar muzik?’, mungkin kita sudah semakin faham sejauh mana jawapannya subur ke arah hal indah dan positif.












#the studio music centre #konsert hujung tahun #muzik #terapi #disiplin #esty farah #nina zahira #bakat muzik #Johor