KUALA LUMPUR: Masyarakat dinasihatkan untuk menjadi warga siber yang lebih prihatin dan berfikir sebelum melontarkan sebarang pandangan terhadap sebarang isu.

Menurut Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Jessica Ong Hai Liaw, pandangan yang berbaur negatif dilontarkan oleh netizen terhadap mana-mana individu mampu memberi kesan terhadap emosi dan keperibadian individu dalam tempoh jangka panjang.

"Apabila adab dan etika yang ditulis di media sosial itu boleh memberikan pengaruh yang besar kepada emosi mereka, dan ini menyebabkan kebencian ini merebak dalam diri mereka sebagai individu yang matang ataupun yang tidak dalam kalangan demografi netizen. Dia akan menjadi satu masalah yang menyebabkan depresi berlaku," katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Selasa.

Katanya lagi, meskipun kini wujud fenomena 'mahkamah' netizen di media sosial, namun ia bukanlah tiket untuk mana-mana warga siber untuk menghukumi orang lain, sebaliknya memahami isu itu dengan lebih mendalam berdasarkan informasi yang diterima.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk menjaga adab dalam berkomunikasi di alam maya, bagi mengelakkan sikap mengherdik dan menghina menjadi satu bentuk pembudayaan pada masa akan datang.

Tambahnya, masyarakat dinasihati untuk berfikir terlebih dahulu sebelum menjadi 'hakim'atau 'peguam' terhadap sesuatu isu.

"kalau banyak-banyak akta mereka persoalkan apa salahnya jika saya lontarkan pandangan saya, kita boleh lontarkan pandangan cuma saya mohon netizen fikir semula dari segi niat yang baik ya sama ada kita ikhlas dengan pandangan.

"Cuba kita bayangkan jika kita berada di tempat  netizen itu sebelum kita ingin melontarkan apa-apa sahaja pandangan. Cuba kita fikir sejenak kalau kita berada di situasi seseorang itu, dalam keadaan yang sangat tertekan. Adakah perkataan tersebut memberi implikasi kepada netizen tersebut," tambahnya lagi.