GELOMBANG haba yang terhasil oleh fenomena El Nino sejak kebelakangan ini mencetuskan rasa tidak selesa dan tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia.

Orang ramai menerima pelbagai peringatan dan nasihat daripada beberapa kementerian serta agensi utama supaya lebih banyak minum air dan hadkan aktiviti di luar.

Masalah kesihatan yang disebabkan oleh dehidrasi juga dilaporkan oleh media. Beberapa buah sekolah di Perlis dan Pahang turut ditutup sementara demi menjaga kesihatan murid akibat bahang panas.

Bagaimanapun, cuaca yang sama turut memberi kesan kepada haiwan tetapi malangnya nasib haiwan terbiar ini tidak mendapat perhatian.

Oleh itu, saya ingin berkongsi pengalaman berhubung nasib kucing terbiar sebelum meminta rakyat Malaysia membantu haiwan yang turut terkesan ini (tidak kira ia kucing, anjing dan yang lain), yang menerima padah daripada bahang panas ini.

Semuanya bermula apabila suami memberitahu saya bahawa semasa beliau menunggu saya di sebuah restoran beliau terlihat seekor kucing yang kelihatan tidak bermaya, bagaikan akan rebah pada bila-bila masa.

Saya bertanya kepada beliau "kucing itu sakit ke?. Tetapi suami pula tidak pasti mengapa kucing berkenaan dalam keadaan sedemikian.

Kemudian saya teringatkan fenomena gelombang haba sekarang ini dan terus melaung, "Kesiannya... kucing tu, lebih-lebih lagi yang tidak bertuan... tiada siapa yang akan beri ia air dan longkang pula sudah kering. Jadi, tiada air untuk diminum dan tentu dalam kedahagaan."

Saya mula risau dengan keadaan ini dan terus memberitahu suami bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk membantu haiwan terbiar ini selain menyebarkan hal ini kepada yang lain.

Bekas berisi air

Apa yang perlu dilakukan hanyalah letakkan satu bekas plastik berisi air di tempat tertentu bagi membolehkan haiwan yang merayau ini dapat minum. Dengan cara ini kita boleh tunjukkan bahawa ada juga orang yang mengambil berat tentang nasib haiwan ini.

Beberapa hari kemudian, selepas menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur saya ke stesen KTM di Bandar Tasik Selatan. Semasa berjalan dari platform RapidKL ke platform KTM, ada sesuatu yang menarik perhatian saya.

Kelihatan seekor kucing terlantar atas lantai berdekatan tangga dengan matanya tertutup. Cuma pergerakan di bahagian perut menunjukkan ia masih bernafas.

Saya segera ke kedai terdekat untuk membeli bekas plastik kecil untuk diisi air supaya kucing itu boleh minum. Malangnya, tiada satu pun kedai yang menjual bekas plastik itu.

Saya tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan, dan hampir berputus asa.

Kemudian saya ke satu lagi kedai untuk membeli waffle dan mengambil peluang untuk bertanya sama ada mereka ada bekas plastik kecil. Seorang jurujual muda menjawab; "Kak plastik kami tak ada, tapi bekas ais krim kami boleh bagi kak".

Saya mengucapkan terima kasih dan berkongsi perasaan terharu saya dengan jurujual itu selain meminta beliau membantu saya mengisi air dalam bekas itu. Beliau dengan penuh rela hati melakukannya.

Semasa saya meletakkan bekas air itu dekat dengan kucing itu, ia tetap tidak berganjak. Kemudian saya membasahkan jari dengan air dan meletakkanya di bibir kucing.

Saya terkejut melihat kucing itu dengan bingkas bangun dan meminum air dalam bekas itu. Selepas minum, ia nampak sihat sedikit. Bila saya kembali ke kedai yang sama untuk mengambil waffle saya, gadis di kedai itu bertanya; "Kak kucing itu hidup lagi ke...".

Bertimbang rasa

Dalam insiden ketiga, ketika saya makan tengah hari di sebuah restoran saya terlihat seekor kucing dalam keadaan tidak bermaya. Selepas makan, saya terus ke kedai haiwan di barisan kedai yang sama dan membeli sebuah bekas air untuk ditempatkan berdekatan restoran itu. Saya meminta pekerja restoran itu supaya membantu mengisi air dalam bekas itu sentiasa memastikan ia penuh supaya kucing-kucing terbiar ini boleh minum.

Saya kerap ke restoran ini dan gembira kerana pekerja restoran ini walaupun sibuk dengan tugasnya tetap memastikan bekas itu diisi air setiap hari untuk kucing-kucing terbiar di sini.

Saya hanya boleh berharap dan merayu kepada orang ramai, yang menyayangi haiwan (kucing, anjing dan lain), agar lebih bertimbang rasa dan menyediakan sedikit air kepada haiwan terbiar ini yang turut mengalami kesan daripada bahang panas ketika ini.

Manakala bagi mereka yang tidak suka haiwan berkenaan berada di dalam atau sekitar halaman rumah mereka agar bertimbang rasa sedikit dengan meletakkan bekas air kecil di luar rumah supaya haiwan berkenaan boleh minum. Bagaimanapun, pastikan pula bekas-bekas ini tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk.



*Pelopor inovasi dan nuklear, Sheriffah Noor Khamseah Al-Idid Dato' Syed Ahmad Idid, berkongsi rasa simpati beliau terhadap haiwan peliharaan tidak bertuan selepas mendapati cuaca panas sekarang ini turut memberi kesan kepada makhluk lain.

**Sheriffah pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Tan Sri Omar Abdul Rahman, Penasihat Sains kepada perdana menteri ke-4 Tun Dr Mahathir Mohamad.


***Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.