Final AFF Suzuki: Pemuda ini berhasrat memandu sampai Hanoi, tetapi...

Astro Awani
Disember 15, 2018 03:40 MYT
Empat bersahabat memutuskan untuk memandu sehingga ke Bangkok sebelum menaiki pesawat ke Hanoi. Foto Zac Zahari
EMPAT penyokong Harimau Malaya hampir bikin kerja gila apabila berhasrat untuk memandu dari Kuala Lumpur terus ke Hanoi bagi menyaksikan perlawanan timbal balik aksi final Piala AFF Suzuki di Hanoi yang dijadual berlangsung malam ini.
Setelah menyedari risiko kemungkinan mereka tidak akan sampai tepat pada masanya, akhirnya empat sahabat berkenaan Mohd Abdul Rauf Husin, Azidi Dzahari, Weesyarn Cheisongkhram dan Manvinderjit Singh memutuskan untuk memandu sehingga ke Bangkok sebelum menaiki pesawat ke Hanoi.
Azidi menyatakan bahawa 'kerja gila' ini bukan perkara baru malah beliau menaiki bas sehingga ke Bangkok bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir lalu apabila pasukan Malaysia bertemu Thailand di Stadium Rajamangala sewaktu ketika perlawanan separuh akhir tempoh hari.
Mereka bertolak dari Kuala Lumpur pada Khamis sebelum sampai ke Bangkok pada petang Jumaat sebelum menaiki pesawat dari Bangkok untuk ke Hanoi, juga pada Jumaat.
#AFF Suzuki Cup #Bangkok #final #Hanoi #Harimau Malaysia #pesawat #Thailand #Vietnam #WeBelangTogether