GAYA HIDUP
Fine Flowers Studio gabung seni dan santai, pertama di Melaka
Nur Nabilla turut menyifatkan penyertaannya dalam program Jelajah Jiwa SME sebagai platform penting untuk memperkenalkan jenama ke peringkat lebih luas. - Astro AWANI
BATU BERENDAM: Daripada sekadar minat terhadap bunga dan kopi, Fine Flowers Studio kini muncul sebagai ruang kreatif unik di Melaka yang menggabungkan tiga elemen di bawah satu bumbung - bunga, kopi dan ruang santai.
Ringkasan AI
Konsep perniagaan yang pertama seumpamanya di bumi Hang Tuah ini telah mencetuskan trend baharu sehingga dinobatkan sebagai juara ‘Pentas Jual’ Jelajah Jiwa SME 2025 Melaka, hujung bulan lalu.
Pengasas dan pereka bunga kreatif, Nur Nabilla Mhd Razib, 31, berkongsi bahawa beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan melalui platform dalam talian sebelum membuka kedai fizikal bersama suaminya di Taman Merdeka Permai sejak tahun lalu.
“Sebenarnya, bunga adalah minat saya. Dari minat itu, saya jadikan ia sebagai perniagaan berterusan.
"Konsep bunga, kopi dan ruang ini kami ketengahkan agar pelanggan dapat merasai pengalaman menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, kedai itu direka untuk memberi suasana santai dan tenang kepada pelanggan.
“Biasanya pelanggan perlu menunggu lama untuk tempahan bunga siap. Jadi kami sediakan ruang agar mereka boleh menunggu sambil menikmati kopi dan pencuci mulut.”
Selain menjual bunga, Fine Flowers Studio turut menganjurkan bengkel gubahan bunga secara berkala dengan harga mampu milik bermula serendah RM200.
Bengkel ini terbuka kepada semua peringkat umur termasuk pelajar, suri rumah dan golongan bekerja yang mencari aktiviti baharu atau sumber pendapatan sampingan.
“Kami jalankan bengkel asas dan lanjutan hampir setiap bulan, merangkumi teknik gubahan bunga segar, pemilihan warna dan tekstur.
Ruang ini kami jadikan tempat peserta belajar, berkongsi idea dan membina keyakinan untuk menghasilkan gubahan yang beridentiti,” jelas Nur Nabilla.
Ramai peserta menunjukkan minat dan bakat dalam gubahan bunga segar, dan ada yang telah berjaya memulakan perniagaan sendiri selepas menyertai bengkel tersebut.
Antara bengkel yang pernah dianjurkan termasuk gubahan jambangan bunga, susunan bunga dalam pasu dan gubahan bakul bunga - dengan sesi terbaru dijadualkan berlangsung pada bulan November.
Fine Flowers Studio kini aktif menjalin kolaborasi bersama kafe dan jenama tempatan melalui konsep ‘flower bar’ dan ‘flower market’ di sekitar Melaka.
“Kami mahu ubah persepsi masyarakat bahawa florist bukan sekadar kedai menjual bunga, tetapi satu bentuk seni hidup yang boleh digerakkan melalui kolaborasi dan komuniti,” katanya.
Sebagai lulusan bidang psikologi, Nur Nabilla turut menyifatkan penyertaannya dalam program Jelajah Jiwa SME sebagai platform penting untuk memperkenalkan jenama ke peringkat lebih luas.
“Program seperti JIWA SME bukan sekadar ruang promosi, tetapi jambatan untuk kami berhubung dengan usahawan lain dan memperkenalkan konsep baharu kepada masyarakat,” tambahnya.
Dengan pendekatan kreatif dan berjiwa komuniti, Fine Flowers Studio kini menjadi inspirasi kepada usahawan muda yang mahu menjadikan minat sebagai sumber rezeki.
“Saya percaya setiap industri boleh berkembang apabila ada minat, tujuan dan pendekatan tersendiri.
"Bagi saya, Fine Flowers bukan sekadar perniagaan - ia adalah ruang untuk menyemai semangat dan kreativiti,” katanya.
Ringkasan AI
- Fine Flowers Studio gabung bunga, kopi dan ruang santai, muncul sebagai konsep kreatif pertama seumpamanya di Melaka dan juara Pentas Jual Jelajah Jiwa SME 2025.
- Diasaskan oleh Nur Nabilla Mhd Razib, studio ini turut menganjurkan bengkel gubahan bunga mampu milik untuk pelbagai lapisan masyarakat.
- Aktif dalam kolaborasi komuniti dan jenama tempatan, Fine Flowers Studio berusaha mengangkat florist sebagai seni hidup dan ruang inspirasi usahawan muda.