KUALA LUMPUR: Tahap pengambilan garam bagi rakyat Malaysia adalah agak tinggi iaitu pada kadar purata 7.9 gram atau 1.6 sudu teh sehari, melebihi saranan lima gram sehari oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menurut kajian Malaysian Community Salt Study (MyCoSS) 2017/2018.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sehubungan itu berkata, bersempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang disambut hari ini, kementeriannya menyeru agar rakyat Malaysia mengambil beberapa langkah mudah bagi mengurangkan pengambilan garam dalam pemakanan harian.

"Antara langkah berkenaan adalah mengenali nama lain bagi garam dalam makanan, seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate dan Monosodium Glutamate, membaca label dan bandingkan maklumat kandungan natrium sebelum membeli makanan.

"(Selain itu)...hadkan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu teh sehari, termasuk garam beriodin bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan strok," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga disaran mengutamakan perisa asli dengan mengurangkan penggunaan garam, sos dan kicap dalam masakan, selain mengubah suai masakan yang lebih sihat serta kerap makan di rumah atau bawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja.

Jelas Dr Noor Hisham, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi, yang jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit jantung serta penyakit angin ahmar.

"Kerjasama semua pihak amat diperlukan, dalam usaha menjayakan strategi pengurangan pengambilan garam berlebihan di Malaysia.

"Semoga segala usaha kita untuk mengurangkan pengambilan garam berlebihan dapat membantu untuk mencegah dan mengawal penyakit hipertensi serta komplikasinya, seterusnya mengurangkan kematian pramatang dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga sedang melaksanakan Program Pengiodinan Garam Secara Universal yang berkuat kuasa di seluruh Malaysia pada 1 Jan lepas, sebagai salah satu intervensi kesihatan awam bagi mencegah dan mengawal masalah kesihatan akibat kekurangan iodin (IDD) dalam kalangan masyarakat.

Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang bertemakan 'Tambah Perisa Asli, Sedikit Garam Mencukupi' dari 8 hingga 14 Mac ini antara lain menekankan kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat sebagai langkah pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

-- BERNAMA