Hai orang Malaysia, salam dari Azerbaijan!

Hasimi Muhamad
Oktober 22, 2019 21:18 MYT
Pengunjung datang beriadah dan merakam gambar kenangan di sekitar Baku Convention Centre, yang menjadi lokasi Sidang Kemuncak NAM 2019 - Gambar Astro AWANI/Hasimi Muhamad
TAK kenal maka tak cinta! Pengalaman pertama kali menjejakkan kaki ke negara yang terkenal dengan jolokan Land of Fire seolah melengkapkan 'list' percutian penulis untuk tahun ini.
Walaupun matlamat asal penulis ke Baku, Azerbaijan adalah atas tugasan untuk membuat liputan sempena Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) 2019, namun bak kata pepatah, "sambil menyelam, minum air", bukan?
Tetapi perlu ingat, jangan terlebih minum air, takut nanti tersedak susah pula!
Berbalik kepada "percutian percuma" yang ditaja pihak syarikat tempat penulis bekerja (well, thank you Astro AWANI!) - penulis menaiki penerbangan Qatar Airways dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev, Baku iaitu ibu negara Azerbaijan.
Tempoh penerbangan termasuk transit di Doha adalah lebih kurang 9 jam. Tetapi, anda juga boleh memilih penerbangan lain seperti Emirates atau Turkish Airlines - di mana masing-masing akan transit di Dubai dan Istanbul.
Sampai saja di Azerbaijan, penulis terus menarik baju sejuk yang dibawa, kerana kedinginan cuaca dan angin sepoi-sepoi bahasa mula menyapa. Wah, nyamannya (bisik hati penulis!).
Untuk bulan Oktober, cuaca di Azerbaijan agak dingin iaitu sekitar 13 hingga 19 darjah Celsius.
Kepada mereka yang berhasrat kembara ke republik ini sekitar bulan Disember hingga April, anda akan berpeluang melihat hamparan salji. Menarik, bukan?
Dari lapangan terbang, penulis bersama rakan setugas dan delegasi media tempatan menaiki kenderaan yang sudah ditempah untuk ke hotel penginapan kami yang terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari situ.
Kalau bercakap mengenai pengangkutan awam, terdapat perbagai jenis kemudahan disediakan di sini termasuk teksi - yang mana difahamkan tambang perkhidmatan tersebut juga agak murah.
Ini mungkin juga sumber pendapatan utama negara ini adalah minyak, maka ia secara tidak langsung mempengaruhi faktor harga.
Dan jangan risau, selain teksi ada juga pengangkutan awam lain seperti bas turut disediakan di Azerbaijan, dan ia begitu mudah untuk diakses.
Penulis kemudian bergerak ke beberapa lokasi bersejarah di Baku termasuklah Old Town Baku (daerah tertua Baku), Menara Legendary Maiden, dan Baku Boulevard. Kesemua lokasi ini terletak berhampiran dan mengambil masa yang singkat untuk dikunjungi.
Memang tidak perlu disangkal lagi, Baku sebuah tempat yang begitu cantik, bersejarah dan sarat dengan ciri-ciri kesenian. Apa yang dapat penulis gambarkan bandar Baku tersusun, bersih dan tidak keterlaluan jika disamakan seperti kota London.
Old Town Baku sendiri juga telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember 2000.
Selain itu, destinasi yang sering menjadi tarikan pelancong adalah gunung terbakar - Yanar Dag atau Flame Mountain, yang terletak 25km ke utara, Baku. Tetapi penulis tidak sempat pergi ke lokasi ini kerana ia mengambil masa lebih kurang 4 jam dari Baku.
Selepas penat berjalan dan meronda sekitar bandar Baku, penulis singgah sebentar menikmati secangkir kopi bersama hidangan roti dan salad.
Di Baku juga sebenarnya agak mudah mencari makanan halal kerana ada restoran yang menyediakan makanan Timur Tengah.
Tetapi kepada sesiapa yang gemar makanan pedas dan rindukan sambal belacan dari tanah air, mungkin anda boleh 'tapau' siap-siap bawa ke sini.
Oleh kerana Baku sering digambarkan sebagai bandar 'kacukan Dubai dan Paris', penulis gigihkan juga untuk melihat suasana malam di bandar ini walaupun badan sudah berasa penat.
Keletihan terubat apabila melihat pemandangan indah suasana malam di ibu kota Azerbaijan, yang dilimpahi cahaya bangunan pencakar langit. So amazing guys!
Malam pun sudah mahu melabuhkan tirai, dan esok penulis juga mempunyai tugasan sedang menanti...
Chop! Tetapi sebelum itu, jangan lupa mata wang Azerbaijan adalah manat, dan kepada mereka yang mahu datang ke sini seelok-eloknya bawa wang euro atau dolar Amerika Syarikat untuk memudahkan pertukaran mata wang.
Salam dari Azerbaijan!
INFO:
Azerbaijan merupakan bekas negara Soviet di Kaukasus yang mempunyai sebahagian Laut Caspian.
Terletak di persimpangan Eropah Timur dan Asia Barat, Azerbaijan negara yang tidak berpantai dihuni kira-kira 10 juta penduduk, 96 peratus daripadanya beragama Islam.
#Azerbaijan #Baku #Dubai #gunung terbakar #Islam #lokasi bersejarah #makanan halal #minyak #NAM Summit #Paris #pelancong #pengangkutan awam #pertukaran mata wang #Salam dari Azerbaijan #Sidang Kemuncak NAM #suasana malam #sumber pendapatan #Unesco