KUALA LUMPUR: Hampir separuh daripada rakyat Malaysia pernah merasai pengalaman melibatkan sebarang bentuk perbuatan 'pengintaian' digital, menurut kaji selidik oleh syarikat keselamatan siber dan digital global Kaspersky.

Kaji selidik itu mendedahkan bahawa 47 peratus responden rakyat Malaysia percaya bahawa memeriksa akaun media sosial teman wanita atau teman lelaki yang mereka baru dikenali satu usaha wajar yang boleh diterima, manakala 42 peratus mengakui berbuat demikian ketika mereka baru memulakan janji temu dengan seseorang.

Responden wanita pula bimbang menjadi mangsa pengintaian dalam talian dan pernah berdepan beberapa bentuk keganasan atau penderaan berbanding responden lelaki.

"Sebanyak 46 peratus rakyat Malaysia juga telah mengalami beberapa bentuk pengintaian dalam talian daripada individu yang baru mereka kenali, manakala 56 peratus responden bersedia untuk berkongsi kata laluan yang berpotensi untuk membolehkan lokasi mereka diakses.

"Selain itu, 42 peratus responden melaporkan beberapa bentuk keganasan atau penderaan daripada pasangan sekarang atau terdahulu; menghantar emel tidak diingini (19 peratus); merakam filem atau mengambil gambar tanpa kebenaran (18 peratus); mengakui dijejaki (17 peratus); akaun media sosial mereka digodam (15 peratus) dan memasang perisian pengintai pada peranti mereka tanpa kebenaran (13 peratus)," menurut kaji selidik itu.

Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik Adrian Hia berkata peralatan perisian pengintai boleh mencetuskan tingkah laku berbahaya dan Kaspersky berusaha menanganinya secara berterusan.

"Kami akan terus meningkatkan kesedaran, berkongsi kepakaran dan berkerjasama dengan rakan kongsi daripada sektor awam dan swasta. Ini adalah antara misi utama kami untuk melengkapkan mangsa dengan pengetahuan dan membimbing mereka ke arah jalan paling selamat yang akhirnya mengubah keadaan dalam hal penyalahgunaan digital," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 31 Mei lepas, kerajaan memperkenalkan Akta Anti-Menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan dan peruntukan perintah perlindungan, iaitu mangsa perbuatan menghendap boleh mendapatkan bantuan daripada polis serta memohon perintah perlindungan bagi menghalang pelaku daripada terus menghendap atau menghampiri mangsa.

Dalam pada itu, kaji selidik Kaspersky itu dijalankan oleh Arlington Research dengan menemu bual 21,000 responden dalam talian iaitu masing-masing 1,000 orang dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

-- BERNAMA