GAYA HIDUP

Hari Ceria Bersama Gardenia santuni lebih 250 komuniti B40 dan anak yatim sempena Tahun Baharu Cina

Amzar Alif 05/02/2026 | 14:37 MYT
Ena Suhaila Abas menyampaikan pek cenderahati kepada peserta sempena program Hari Ceria Bersama Gardenia di TGV Cinemas, 1 Utama, bagi menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina 2026. - Foto: Gardenia
PETALING JAYA: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) meraikan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 bersama komuniti B40 dan anak-anak yatim menerusi program Hari Ceria Bersama Gardenia, yang menghimpunkan tujuh organisasi kebajikan melibatkan kira-kira lebih dari 250 individu daripada pelbagai latar belakang.

Program yang berlangsung di TGV Cinemas, 1 Utama itu memberi peluang kepada kanak-kanak dan keluarga terlibat menikmati tayangan filem animasi Zootopia 2 dalam suasana perayaan yang ceria, sekali gus mencipta kenangan manis buat mereka yang jarang berpeluang menikmati pengalaman sedemikian.

Pengurus Kanan Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Gardenia, Ena Suhaila Abas, berkata program berkenaan mencerminkan usaha berterusan Gardenia untuk sentiasa dekat dengan komuniti, selari dengan nilai jenama Sentiasa Bersamamu.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sekadar meraikan musim perayaan, sebaliknya menjadi platform untuk Gardenia berkongsi kegembiraan serta mengeratkan hubungan silaturahim bersama komuniti yang memerlukan.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina bakal tiba, Gardenia Bakeries meluangkan masa bersama-sama lebih 250 individu termasuk kanak-kanak daripada pelbagai rumah kebajikan sebagai salah satu inisiatif untuk mengeratkan silaturahim bersama komuniti,” katanya.

Peserta daripada organisasi kebajikan bergambar bersama Ena selepas menerima pek cenderahati sempena program yang turut diserikan dengan promosi Peraduan Gardenia Hari-Hari, Tuah Pun Mari-Mari. - Gambar Gardenia


Selain tayangan filem, program berkenaan turut diserikan dengan persembahan tarian singa serta pengagihan pek cenderahati dan hadiah kepada para peserta, yang disampaikan oleh Ena sendiri.

Seorang wakil Rumah Charis, Cherry, menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman bermakna buat anak-anak yang terlibat dan merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan Gardenia.

“Saya rasa sangat gembira kerana Gardenia memberi peluang kepada kami menonton Zootopia dan turut memberikan goodie bag serta pelbagai hadiah. Kami sangat berterima kasih dan bersyukur,” jelasnya.

Turut berkongsi pandangan, wakil Yayasan Sunbeams Home, Yaw Sook Ngan, berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Semoga inisiatif ini dapat diteruskan sebagai tanda rasa sayang kepada masyarakat kurang berupaya. Ada dalam kalangan mereka yang tidak berpeluang masuk ke pawagam, jadi inilah peluang untuk mereka menikmati hiburan bersama-sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, bersempena musim perayaan, Gardenia turut meneruskan Peraduan Gardenia Hari-Hari, Tuah Pun Mari-Mari yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Ena berkata, peraduan tersebut menawarkan hadiah menarik bernilai keseluruhan lebih RM188,000 sebagai penghargaan kepada sokongan berterusan pengguna Gardenia.

“Beli roti Gardenia dan siapa tahu anda bakal menjadi pemenang utama untuk menerima roti emas seberat 50 gram,” tambahnya.

Ena bersama peserta daripada tujuh organisasi kebajikan bergambar kenangan diiringi kumpulan tarian singa, melambangkan kemeriahan dan semangat kebersamaan dalam program Hari Ceria Bersama Gardenia sempena Tahun Baharu Cina 2026. - Gambar Gardenia




#Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd #Hari Ceria Bersama Gardenia #Tahun Baharu Cina #B40 #anak-anak yatim