Harrods jual beg tangan berjenama bawah RM30? Biar betul

Syafik Shukri Jalil
Disember 16, 2017 10:21 MYT
Pelanggan gedung terkemuka Harrods awal minggu ini dikejutkan dengan harga runtuh di laman web syarikat itu. -Gambar fail
APA perasaan anda sekiranya berpeluang membeli beg berjenama berharga ribuan ringgit dengan harga kurang daripada RM30?
Tidak masuk akal, bukan? Tetapi itulah yang berlaku kepada pelanggan gedung terkemuka Harrods awal minggu ini yang dikejutkan dengan ‘harga runtuh’ di laman web syarikat itu.
Antara yang menjadi perhatian ialah beg tangan kulit jenama Aspinal of London Bags yang harganya jatuh lebih rendah iaitu sekitar £5 atau kurang daripada RM30.
Bagaimanapun kejadian itu disedari pihak Harrods dan mereka lantas menghantar emel kepada setiap pelanggan berhubung kesilapan tersebut.
Malang bagi pelanggan yang telah membuat tempahan beg-beg tersebut apabila mereka perlu membayar pembelian pada harga asal.
Wakil Harrods, Andrew Leakey berkata ini kerana adalah mustahil untuk pihaknya menjual beg-beg kulit asli dari Itali dengan harga yang begitu murah.
Peristiwa ‘harga runtuh’ ini terjadi apabila terdapat gangguan pada sistem laman web tersebut menyebabkan harga yang disenaraikan menjadi jauh lebih rendah daripada harga asal.
#Andrew Leakey #Aspinal of London Bags #diskaun #gangguan sistem #Harrods #jualan murah #London