GAYA HIDUP

Hobi Kita Lagi: Menyemarak keseronokan, meraikan interaksi komuniti

Astro Awani 15/09/2025 | 12:32 MYT
Keseronokan kembali bermula! Acara Hobi Kita 2025 yang mengambil tempat di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru bakal menyambut pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik.
JOHOR BAHRU: Dunia dan kehidupan ini terasa tidak lengkap jika manusia tidak berpeluang menikmati sesuatu yang mencetus rasa seronok dan bahagia.

Ia bermula dengan aktiviti yang mungkin dianggap remeh atau kecil bagi sesetengah orang, namun manfaat keterlibatan itu mampu mencetus rasa minat, menambah pengetahuan, meningkatkan semangat dan meraih peluang interaksi yang berkualiti.

Menyedari kepentingan menciptakan 'ruang gembira' untuk komuniti mencari ketenangan dan keseimbangan dalam dunia yang semakin pantas serta mencabar, hab hobi yang mencipta nama di Johor Bahru, Alexandria Bookstore, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), bangga menganjurkan acara Hobi Kita Lagi.

Bertempat di Perpustakaan Sultan Ismail dari 19 hingga 21 September ini, acara selama tiga hari itu disifatkan sebagai penganjuran yang meraikan hobi, kreativiti dan komuniti.




"Idea acara Hobi Kita Lagi bermula sejurus selepas penganjuran sulung pada 2024. Kami menyedari betapa mendalamnya peranan hobi dalam menghubungkan masyarakat - bukan sekadar aktiviti masa senggang individu, malah sebagai jambatan yang membina persahabatan, ikatan keluarga dan semangat komuniti.

"Melihat kegembiraan dan tenaga yang dicetus daripada hobi hingga menyatukan masyarakat dari pelbagai lapisan usia telah menginspirasi kami untuk meneruskan dan meluaskan acara ini pada 2025," ujar pengasas Hobi Kita, Adam Low, 43.

Beliau yang juga pemilik Alexandria Bookstore berpendapat, acara komuniti dan hobi sangat penting pada zaman ini kerana ia mampu mengukuhkan ikatan sosial pada ketika manusia itu mudah terasa terasing.

"Hobi menggalakkan kerja berpasukan, kreativiti, dan persaingan sihat, selain mampu memperbaiki kesihatan mental. Ia memberi peluang kepada anggota keluarga untuk menghabiskan waktu yang bermakna bersama, membolehkan rakan taulan berkongsi memori, dan memberi ruang selamat untuk seseorang mempelajari kemahiran baharu serta membina keyakinan," jelasnya.

Pada dasarnya, menurut Adam, hobi memupuk pertumbuhan diri dan komuniti yang lebih erat.




"Kami berharap pada penganjuran kali ini, lebih banyak keluarga dan kumpulan rakan menyertainya - bukan sekadar melihat hobi sebagai hiburan, malah peluang untuk belajar dan berhubung.

Hobi Kita Lagi akan menampilkan pempamer, pertandingan, dan bengkel yang direka untuk menunjukkan bahawa keterlibatan dalam hobi dapat memberi kegembiraan dan manfaat. Para pengunjung boleh mencuba variasi aktiviti dari permainan kad hingga ke kraf, menyaksikan demonstrasi langsung, malah menyertai sesi learn-to-play.

Antara yang bakal merancakkan acara ialah penyertaan pihak Muzium Layang-layang Pasir Gudang, Kompleks Kraftangan Johor, dan kedai hobi popular seperti Alexandria Bookstore sendiri, Sky Pillar Card Game Store, Gamer Misi, Kamenn Enterprise, dan TK Cards & Collectibles.




Acara yang percuma dan terbuka untuk semua lapisan masyarakat itu turut menawarkan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, yang ditaja oleh Staedtler dan Bookhub, pada 20 September dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Tidak ketinggalan, bagi memeriahkan suasana, seleksi vendor makanan dan minuman tempatan termasuk Chow Chow Stir Fry, Cakes by Fash, dan Fewlab, juga menanti pengunjung di reruai yang disediakan di pekarangan perpustakaan.

"Perkara baharu untuk 2025 ini pastinya skala dan kepelbagaian. Kami telah meluaskan tapak acara ke beberapa tingkat perpustakaan, memperkenalkan zon Hobby & Culture, dan menambah tarikan segar seperti pertandingan untuk kanak-kanak, bengkel kreatif dan pertandingan trading card game yang baharu. Variasi pempamer yang lebih banyak juga mencerminkan perkembangan landskap hobi di Johor Bahru," tambah Adam.



#hobi kita #Johor Bahru #perpustakaan sultan ismail #komuniti