Inap desa di Sungai Besar tawar suasana raya kampung buat 'orang bandar' selepas PKP

Astro Awani
Mei 11, 2021 14:32 MYT
Pemintaan pengunjung yang mahu suasana Hari Raya Aidilfitri boleh ditunaikan pihak pengurusan homestay. - Foto Mahani Muhammad.
SUNGAI BESAR: Hamparan sawah padi yang kehijauan ditambah dengan kepulan awan seperti kapas menghiasi langit biru cukup untuk membuatkan anda dibuai perasaan.
Selamat datang ke Anis Raudhah Homestay Sungai Besar, Selangor.
Diusahakan pasangan suami isteri pesara guru, premis ini menjanjikan kedamaian bagi mereka yang ingin merehatkan minda.
Mahani Muhammad dan suami, Omar Zakaria mengambil keputusan mendirikan inap desa untuk 'orang bandar' menikmati suasana kampung.
Apa yang lebih menarik, Mahani dan pengurusan homestay ini menawarkan apa sahaja perkhidmatan bersesuaian dengan kemahuan pengunjung.
"Selera pengunjung dan kemahuan mereka sentiasa kami tunaikan. Apa yang penting bagi saya ada kepuasan pengunjung," katanya ringkas memulakan temu bual ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Sebelum keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12 Mei hingga 7 Jun, tempahan lima rumah berkonsepkan kampung di inap desa Anis Raudhah laris ditempah sepanjang syawal.
Akur dengan keputusan kerajaan dalam membendung penularan COVID-19, Mahani dan suami beranggapan ada hikmah disebalik semua itu.
Tutup cerita tentang larangan rentas daerah dan negeri - dan pandang ke hadapan, Mahani punya perancangan buat 'órang bandar' yang mahu menikmati suasana kampung.
"Bukan itu sahaja, kami juga boleh menunaikan impian jika pengunjung datang mahu menikmati suasana hari raya walaupun berakhirnya bulan Syawal.
"Sebelum ini ada sekumpulan rakan yang datang ke inap desa ini menyewa lima rumah. Mereka mahu kami menyediakan suasana seperti Hari Raya di kampung mereka.
"Pelita, tempat bakar lemang, pangkin, selain perhiasaan seperti hari raya," katanya.
Sepanjang tempoh pandemik ini, Mahani berkata, prosedur operasi standard (SOP) keselamatan COVID-19 menjadi keutamaan Mahani.
Katanya, operasi sanitasi setiap hari, penyediaan cecair pembasmi kuman dan kod imbas MySejahtera ada pada setiap rumah di inap desa tersebut.
#Suasana Hari Raya #Mahani Muhammad #Anis Raudhah Homestay #Hari Raya Aidilfitri #Omar Zakaria