Rezeki Jalur Gemilang! Itu reaksi gembira seorang tukang jahit, Sabariah Abdul Manaf dari Teluk Ketapang di sini yang menerima banyak tempahan baju diperbuat daripada bendera Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Wanita berusia 50 tahun itu berkata semuanya bermula apabila beliau menjahit sehelai gaun Jalur Gemilang untuk dipakai anak saudaranya dalam pertandingan baju patriotik tercantik di sekolah rendah pada tahun 2015.

"Namun, setelah anak saudara memakainya, ramai pula jiran dan guru sekolah yang ingin menempah pakaian daripada Jalur Gemilang untuk dipakai pada sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Kebangsaan.

"Harga tempahan untuk gaun, baju Melayu Johor dan jubah kanak-kanak ini biasanya sekitar RM30 hingga RM40, bergantung kepada saiz dan corak baju yang ditempah pelanggan," katanya kepada Bernama hari ini.

Setahun sekali, kedai jahit Sabariah akan dipenuhi Jalur Gemilang yang merupakan metrial untuk dijadikan baju tempahan pelanggan-pelanggannya. - Bernama

Sabariah yang berpengalaman menjadi tukang jahit sejak 30 tahun lepas, berkata beliau sangat teruja setiap kali mendapat tempahan baju Jalur Gemilang kerana bendera itu adalah lambang kemerdekaan negara daripada penjajahan kuasa asing.

"Lagi seronok jika pelanggan memaklumkan baju tempahan itu memenangi sebarang pertandingan atau mendapat pujian dari pemimpin setempat yang merasmikan sambutan Hari Kebangsaan di sekolah mereka," katanya.

Ditanya tentang cabaran menjahit baju daripada bendera ini, katanya kain Jalur Gemilang biasanya agak licin dan beliau perlu lebih berhati-hati ketika proses jahitan bagi memastikan baju tidak berkedut dan terletak cantik pada tubuh pemakai.

Setiap hari, Sabariah mampu menyiapkan empat helai gaun atau lima helai jubah dan beliau mula menerima tempahan pada akhir Julai sehingga pertengahan Ogos sahaja kerana mahu menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan.

"Alhamdulillah, Jalur Gemilang kebanggaan rakyat Malaysia ini turut menjadi sumber rezeki buat saya, semoga ia terus menjadi lambang kedaulatan dan kegemilangan negara," katanya.

-- BERNAMA