KIRA-KIRA satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia dibazirkan dan kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya 10,000 tan makanan dibuang setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun lepas.

Kajian turut melaporkan pembaziran makanan dijangka meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan lain.

Jadi, selain daripada dibuang begitu sahaja, apa penyelesaian kepada masalah lebihan makanan khususnya di bulan Ramadan?

Memetik laporan National Georaphic, sisa makanan tersebut boleh dikomposkan (menjadi baja) berbanding hanya dilupuskan.

Pakar berpandangan tindakan mengompos sisa makanan sama ada ia dilakukan di kawasan sekitar rumah atau di kemudahan komuniti mampu mengurangkan sampah dan mengatasi perubahan iklim.

Apa yang berlaku dalam longgokan kompos?

Pada skala kecil di halaman belakang atau kawasan kejiranan anda, longgokan kompos harus terdiri daripada tiga perkara iaitu sisa makanan, air dan bahan kering berkayu.

Sebagai contoh, sisa hiasan halaman seperti daun, rumput atau pokok yang dikategorikan mengandungikan karbon yang tinggi.

Sementara itu, sisa makanan yang dipanggil sebagai 'hijau' pula mengandungi nitrogen yang tinggi.

Bagaimana longgokan sisa menjadi kompos?

Foto/REUTERS


Jika sisa sampah tersebut berada di kawasan rumah, anda harus mengacau atau mencampurkan longgokan sisa tersebut secara berkala dan pastikan ia lembap.

Kedua-dua langkah tersebut akan mempercepatkan proses penguraian.

Pengadukan membolehkan oksigen mencapai kepada semua sudut dan celah, dan kelembapan menjamin kemandirian mikroorganisma yang memerlukan kelembapan untuk hidup.

Malah, sebab yang paling biasa mengapa timbunan kompos di kawasan belakang rumah tidak berjaya adalah kerana ia terlalu kering.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Semburan air untuk memastikan kelembapan timbunan sisa terbuang mampu membantu penghasilan kompos yang baik.

Bagaimanapun, tidak semua sisa makanan disyorkan untuk dilonggokan di belakang rumah.

Sisa-sisa buah-buahan dan sayur-sayuran biasanya selamat untuk dibuang ke dalam longgokan, tetapi daging atau tenusu yang tidak dimakan lebih cenderung berbau dan menarik binatang perosak.

Lebihan makanan tersebut juga mengandungi tahap lemak yang lebih tinggi, menyebabkan ia mengambil masa lebih lama untuk diuraikan.

Bagaimana pengkomposan membantu alam sekitar?

Pada 2018, Amerika Syarikat (AS) menghasilkan hampir 300 juta tan sampah atau kira-kira 4.9 paun (2.22 kilogram) setiap orang.

Selepas kertas, makanan adalah kategori sisa kedua tertinggi yang terdiri daripada kira-kira 21 peratus daripada sisa buangan.

Sebagai contoh, San Francisco, yang mewajibkan pengkomposan di seluruh bandar pada 2009 telah dapat mengalihkan 80 peratus atau 2.5 juta tan sisanya dari tapak pelupusan setiap tahun.

Majlis Pertahanan Sumber Asli mendapati undang-undang pengkomposan San Francisco telah mengurangkan 90,000 tan metrik karbon dioksida setiap tahun, di mana jumlah pelepasan itu bersamaan kira-kira 20,000 kenderaan penumpang.

Selain mengurangkan kadar pelepasan (gas atau sinaran) di tapak pelupusan, kompos menjadikan tanah lebih sihat.

Ia juga membantu mengikat zarah tanah bersama-sama dan menampung lebih banyak air.

Tanah yang lebih baik membantu menyokong pertumbuhan tumbuhan, yang boleh membantu mengasingkan karbon daripada atmosfera.