Jom pakat mai Penang!

Haikal Raman
Februari 8, 2022 07:41 MYT
Budaya dan warisan serta seleksi makanan terbaik sememangnya menjadi elemen utama bagi pelacongan di Pulau Mutiara ini.
ANDA mungkin pernah membaca artikel ‘Senarai 10 aktiviti menarik di Pulau Pinang’, tetapi untuk kali ini kami tidak boleh senaraikan hanya 10 kerana Pulau Mutiara ini menawarkan lebih daripada itu!
Budaya dan warisan sememangnya menjadi elemen utama bagi industri pelancongan di sini, khususnya salasilah Peranakan serta tinggalan seni bina kolonial ketika era pemerintahan British suatu ketika dahulu.
#AWANIByte Staycation: Jom Pakat Mai Sini!
Artikel Staycation – The Urban Escapade edisi Pulau Pinang yang dibawakan khas oleh Tourism Malaysia ini akan mencadangkan kepada anda itinerari atau senarai lokasi wajib kunjung sekiranya berada di sini.
Selami keunikan peranakan Baba dan Nyonya di Pinang Peranakan Mansion
Masyarakat Peranakan atau Baba dan Nyonya di Pulau Mutiara ini mungkin jarang diceritakan, bagaimanapun komuniti ini masih wujud dalam kalangan penduduk di sini selain kaya dengan pelbagai budaya dan warisan tersendiri.
Di Pinang Peranakan Mansion, anda boleh melihat sendiri keunikan masyarakat ini yang mengamalkan kehidupan gabungan budaya Cina, Melayu dan Inggeris yang telah dipraktikkan nenek moyang mereka sejak berhijrah ke Tanah Melayu.
Mereka turut mempunyai kemahiran turun temurun seperti pembikinan kasut manik dan jahitan sulaman yang halus indah buatannya… semuanya anda boleh lihat ketika berkunjung ke muzium Pinang Peranakan Mansion ini.
Terletak di alamat 29, Church Street di sini, ia beroperasi setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 5 petang untuk anda lawati.
Mural kisah masyarakat di Penang Street Art!
Mural atau lukisan pada bahagian luar dinding bangunan di sekitar Pulau Pinang, merupakan antara salah satu daya tarikan di sini. Ini kerana setiap lakaran mural tersebut mengadaptasikan kisah hidup seharian masyarakat setempat Pulau Pinang.
Terdapat lukisan berbentuk ‘jenaka’ dan ada yang penuh nilai nostalgia… elemen variasi ini menjadikan mural hunting anda menjadi tidak bosan, malah lebih mengujakan.
Terletak di sekitar George Town, lukisan-lukisan ini turut memaparkan sejarah disebalik lorong tersebut dan antara artis yang menyumbang kepada hasil karya ini adalah termasuk pelukis dari Lithuania, Ernest Zacharevic.
'Tapau' dua lokasi menarik dalam satu tempat - Rizab Biosfera Bukit Bendera, The Habitat Penang Hill
Rizab Biosfera Bukit Bendera ini merangkumi keluasan sebanyak 12,481 hektar dengan 7,285 hektar di pedalaman, manakala bakinya di perairan marin.
Seramai 117 peserta BioBlitz 2017 yang terdiri daripada penyelidik dari Universiti Sains Malaysia dan seluruh dunia berkumpul untuk mendokumentasikan kepelbagaian biologi di Pulau Pinang yang dianjurkan Habitat Group.
Penemuan daripada BioBlitz ini merupakan komponen utama untuk diterima ke dalam Program Manusia dan Biosfera UNESCO.
Menerusi gambar di atas, anda turut boleh melihat Langur Way Canopy Walk, jambatan gantung (stressed ribbon bridge) dua gerbang yang terpanjang di dunia dan satu-satu sepertinya di dalam hutan hujan.
Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan yang indah Rizab Biosfera Bukit Bendera dari atas. Curtis Crest Tree Top Walk merupakan platform tertinggi yang boleh diakses oleh orang ramai di Pulau Pinang, terletak di dalam The Habitat Penang Hill.
Dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam, kami sangat sarankan untuk anda memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam untuk menikmati pemandangan indah di sini di samping menghabiskan masa melakukan aktiviti outdoor yang ditawarkan.
Hiburan ikonik taman tema di Menara Komtar?
The Top Penang menawarkan pelbagai keseronokan terbaik kepada pengunjung dan merupakan lokasi yang santai untuk anda nikmati bersama ahli keluarga.
Antara tempat menarik di The Top adalah Jurassic Research Centre yang memberi pengunjung peluang untuk merasai pengalaman berada di dalam pusat penyelidikan dinosaur seperti di dalam filem Jurassic Park.
Terdapat 18 tempat menarik untuk anda terokai di The Top termasuklah Jurassic Research Center, Rainbow Skywalk, Ocean Explorer, 7D Discover Motion Theater dan juga Tech Dome Penang.
Abadikan kenangan romantik dengan pasangan anda dengan membuat tempahan makan minum petang (tea-time) sambil menikmati pemandangan yang indah di tingkat paling tinggi The Top.
Pasembur lejen Union Street Famous Kareem Pasembor Rojak
Terletak di Lebuh Union, Pulau Pinang, anda pasti akan teruja dengan bau kuah rojak yang sangat ‘menggoda’ deria rasa anda… Kareem Pasembor menjadi tempat wajib untuk berkunjung bagi merasai sajian popular lokal ini.
Apa yang kami boleh katakan, kuah rojak di sini sangat sedap dan anda boleh sempurnakan sajian ini dengan seleksi bahan utama seperti tauhu goreng, cucur udang, kentang goreng, sotong sambal, fish cake dan pelbagai lagi.
Kami sarankan untuk anda mai awai (datang awal) untuk elakkan beratur panjang dan dapatkan tempat duduk.
Sajian istimewa Jawi Peranakan di Jawi House
Menu kuisin dengan citarasa asli Jawi Peranakan di Jawi House merupakan tempat makan yang wajib anda cuba, selain menyajikan menu istimewa… ruangan restoran juga sangat antik kerana ia beroperasi dalam lot rumah lama bercirikan kolonial.
Diusahakan oleh anak tempatan, cef Nurilkarim, Jawi House menyediakan menu yang sangat unik termasuk signatur nasi lemuni, nasi briyani yang didatangkan dengan pilihan daging, ayam, udang ataupun kambing, rendang daging serta jawi bamieh.
Terletak di lot 85 Lebuh Armenian, George Town, Jawi House dibuka pada setiap hari (kecuali Selasa) bermula pukul 11 pagi hingga 9.30 malam.
Citarasa keluarga hanya di restoran Citarasa Dadidada
Kafe Citarasa Dadi Dada merupakan antara salah satu kafe yang menyajikan masakan tradisional orang Melayu Pulau Pinang autentik dari tahun 1940-an.
Resipi turun temurun ini membuatkan anda rasa seperti masakan yang disediakan oleh tok nenek kita selain dekorasi kafe yang memberikan suasana nostalgik dengan hiasan daun tingkap rumah warisan lama.
Antara seleksi sajian yang terlaris di sini ialah Kari Claypot Ikan Jenahak, Mee Udang Mamu Ya, Set Nasi Ikan Bawal Goreng Nani Nah, Set Nasi Asam Pedas Ikan Tok Yan dan Nasi Goreng Udang Tok Tan.
Anda boleh datang menjamu selera makanan orang Melayu di kafe Citarasa Dadi Dada yang terletak di No.8 Lebuh Clarke, George Town di sini. Ia dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 11.30 pagi hingga 10 malam.
Campbell House, tema bilik pelbagai dalam satu bangunan tinggalan kolonial.
Lokasi penginapan di Pulau Pinang sememangnya membawa kita berada dalam kapsul masa zaman kolonial yang memberikan keterujaan apabila melihat peninggalan seni bina bangunannya yang cukup unik ini.
Menawarkan pengalaman penginapan tidak dapat dilupakan, Campbell House dipenuhi dengan nuansa dekorasi interior yang unik dan elegan kepada tetamunya.
Terletak di lokasi strategik iaitu 106 Lebuh Campbell, George Town, setiap bilik di hotel ini didekorasi dengan tema yang berbeza-beza.
Antaranya adalah bilik tema Sari yang memberi rasa romantis seperti di negara India, bilik Malaya dengan konsep suntikan moden dalam elemen tradisional bersama sentuhan batik corak buatan tangan, Indochine, Peacock, Blossom serta Silver Leaf.
Jawi Peranakan Mansion, asimilasi seni bina campuran tradisional
Pembinaan unik yang penuh gaya artistik mengunakan elemen kayu dan air pancut pada ruangan hadapan hotel, menjadikan Jawi Peranakan Mansion pilihan terbaik bagi penginapan anda di Pulau Pinang.
Berasimilasi dengan seni bina Inggeris, Melayu Peranakan dan India, setiap bilik didekorasi dengan rapi bagi menciptakan suasana tempat inap yang nyaman dan santai.
Perabot digunakan di sini memiliki nilai klasik dan dalam masa sama ia turut dilengkapi fasiliti modern termasuk televisyen, pembesar suara serta lain-lain kemudahan seperti kolam renang bersama kerusi jemur untuk bersantai.
Lokasi butik hotel yang terletak di Jalan Hutton, George Town ini menjadikannya sebuah lokasi strategik selain terdapat banyak tempat makan berdekatan sekiranya tetamu ingin menikmati sajian autentik popular tempatan.
Pandangan laut Andaman dari balkoni Tanjung Point!
Jika bercuti ke Pulau Pinang dengan kumpulan yang ramai kira-kira enam orang atau lebih, kami cadangkan kepada anda untuk menginap di tempat jenis apartmen… dan pilihan terbaik di sini adalah Tanjung Point!
Jika bercuti ke Pulau Pinang dengan kumpulan yang ramai kira-kira enam orang atau lebih, kami cadangkan kepada anda untuk menginap di tempat jenis apartmen… dan pilihan terbaik di sini adalah Tanjung Point!
Terletak di Jalan Tanjung Tokong, Tanjung Tokong, George Town dan hanya satu minit berjalan kaki ke pantai, pastinya ia menawarkan pemandangan dari balkoni terus menghadap keindahan laut Andaman.
Terdapat keseluruhan tiga jenis apartmen ditawarkan di sini termasuk studio apartmen, apartmen dua bilik dan apartment tiga bilik dengan keluasan 1,600 kaki persegi… ya, sangat luas dan selesa bagi anda dalam kumpulan yang ramai.
Kesemua bilik dilengkapi dengan bilik air masing-masing bagi mengekalkan privasi tetamu yang menginap di sini. Malah, fasiliti dalam apartment ini juga lengkap termasuk dapur yang membuatkan pengunjung berasa seperti berada di rumah sendiri.
Sekiranya anda ingin menghabiskan masa dengan hanya bersantai, Tanjung Point turut menawarkan kemudahan termasuk kolam infiniti yang luas menghadap laut serta gimnasium.
Ia juga berada pada lokasi strategik iaitu berdekatan dengan pelbagai lokasi tumpuan pelancong termasuk Penang Avatar Secret Garden, George Town UNESCO Heritage Site dan Gurney Drive.
Haa, banyakkan lokasi yang boleh anda lawati di Pulau Pinang. Jom cuti-cuti Malaysia!

*Artikel ini dibawakan oleh Toursim Malaysia

#Tourism Malaysia #StaycationTheUrbanEscapade #CutiCutiMalaysia #pelancongan #Penang